Images
  • pesta buku main
    Pustaka Nasional dan Ungu Pen menerbitkan 9 buku Melayu bergambar untuk kanak-kanak. 

9 buku Melayu dan dwibahasa kanak-kanak dilancarkan

SINGAPURA: Sembilan buku Melayu bergambar untuk kanak-kanak dilancarkan di Perpustakaan Negara semalam (8 Sep), sempena Pesta Asia bagi Kandungan Kanak-Kanak (AFCC).

Buku-buku hasil karya 16 penulis kesemuanya, diterbitkan oleh dua syarikat tempatan, Pustaka Nasional dan Ungu Pen.

Tiga daripadanya merupakan buku-buku dwibahasa Inggeris dan Melayu, yang turut memenangi anugerah bagi Peraduan Menulis Pen UP Kid Lit, anjuran Ungu Pen.

Enam lagi buku ditulis oleh guru-guru yang sedang menjalani latihan di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

BELAJAR TOPIK-TOPIK MENARIK

Buku-buku seperti 'Telur Emas Permaisuri' dan 'Kuih yang Mana Satu?' menceritakan tentang topik-topik yang dapat menarik minat kanak-kanak.

Gaya penulisan yang digunakan mudah untuk difahami dan buku-buku tersebut juga memuatkan lukisan-lukisan yang lucu.

Unsur kejutan diterapkan dalam kesemua sembilan buku untuk menarik minat kanak-kanak membacanya.

MENANG PERTANDINGAN MENERUSI AH CIM!

Cik Nur-El-Hudaa Jaffar yang dinobatkan sebagai juara dalam Peraduan Menulis Pen UP Kid Lit, berpeluang menerbitkan karya tulisannya berjudul ‘Ah Cim!’ - salah satu buku yang dilancarkan semalam.


Beliau percaya banyak manfaat yang dapat diraih melalui buku-buku dwibahasa.

Menurut beliau: "Saya harap ini akan dapat memudahkan pemahaman bagi pembaca cilik yang lebih biasa dengan bahasa Inggeris atau lebih biasa dengan satu bahasa untuk menambah kosa kata mereka dalam bahasa yang lain."

Buku ‘Ah Cim!’ merupakan buku ketiga beliau yang sudah diterbitkan.

IBU BAPA DAN GURU-GURU MAIN PERANAN PENTING

Buku-buku itu bukan sahaja untuk dibaca kanak-kanak.

Satu daripada matlamatnya juga adalah menyemai nilai dan mengeratkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa dan guru-guru mereka.

Cik Nur Syafinah Zainal, penulis buku 'Di Mana Butang Baju Danial?' berkata, beliau ingin menerapkan nilai-nilai murni di dalam buku itu.

"Melalui buku kami, kami juga menerapkan nilai-nilai orang Melayu seperti hormat kepada orang tua, pergi ke masjid dan sebagainya dan juga nilai-nilai bertanggungjawab untuk menjaga bilik mereka sendiri," kata beliau.

Penerbitan buku-buku ini turut disokong oleh Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Naskhah-naskah buku yang diterbitkan akan diedarkan kepada prasekolah tertentu dan juga akan disediakan di perpustakaan di merata negara dengan sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.


Buku-buku juga boleh didapatkan pada harga $9.90 setiap satu untuk buku-buku terbitan Pustaka Nasional dan $18 untuk buku-buku terbitan Ungu Pen secara online. 

- BERITAmediacorp/fz

Top