Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

9,000 keluarga memerlukan mula terima daging korban JKMS, Jamiyah

Sekitar 9,000 keluarga memerlukan mula menerima agihan daging korban daripada Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dan Jamiyah hari ini (31 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 9,000 keluarga memerlukan mula menerima agihan daging korban daripada Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dan Jamiyah hari ini (31 Jul).

Pengagihan tersebut dijangka berjalan selama beberapa minggu.

(Gambar: MUIS)

Seminggu lalu orang ramai yang menempah melakukan korban dengan JKMS sudahpun menerima daging korban masing-masing. Kini giliran golongan memerlukan pula mula mendapat agihan daging korban yang didermakan untuk mereka.

Secara keseluruhannya, sekitar 4,800 keluarga memerlukan akan menerima daging korban kendalian JKMS itu.

Sekitar 4,600 keluarga adalah penerima bantuan zakat bulanan. Lagi 200 keluarga pula dikenal pasti di bawah inisiatif M³, termasuk penerima di bawah program bantuan Dana Pendidikan Harun Ghani dan FITRAH.

(Gambar: MUIS)

Naib pengerusi JKMS bagi Korban 2021, Encik Juraiman Rahim berkongsi: "Selain daripada golongan penerima zakat, kami telah bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Perkhidmatan Penjara Singapura dan FITRAH bagi keluarga banduan dan bekas pesalah dan juga Rahmatan Lil Alamin (RLA) bagi golongan pekerja asing. Kerjasama ini membolehkan kita memberi keceriaan kepada golongan yang terjejas dengan pandemik tahun ini."

Setiap keluarga menerima antara 1 hingga 3 kilogram daging korban melalui khidmat penghantaran ke rumah. Setiap keluarga juga akan menerima sekotak kurma yang didermakan Kedutaan Diraja Arab Saudi.

Pengagihan JKMS kepada keluarga-keluarga memerlukan itu akan berlangsung sehingga 15 Ogos ini.

"Kita mengambil berat tentang keluarga-keluarga memerlukan, berisiko, di mana ahli keluarga mereka berada di dalam penjara.

"Kita sama-sama mendukung mereka memberi mereka sokongan dan menyatakan kepada mereka, jangan khuatir, kami ada bersama anda dan kami mahu menolong selama anda menghadapi cabaran ini," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim yang turut menyingsing lengan melakukan pengagihan ke rumah penerima.

30% LEBIH BANYAK DAGING KORBAN DI JAMIYAH

Di Jamiyah pula, lebih 12,600 kilogram daging korban mula diagihkan kepada 4,200 keluarga memerlukan daripada 16 kawasan undi.

Jumlah ini sekitar 30 peratus lebih banyak berbanding tahun lalu.

(Gambar: Ira Musfirah)

Ini memandangkan tempahan lembu, kambing biri-biri dan anak kambing yang dibuat di Australia dan Indonesia tahun ini melonjak sehingga lebih 80 peratus, berbanding di Australia sahaja tahun lalu.

Ketua Jabatan Dakwah Jamiyah Singapura Ustaz Suhaimi Fauzi berkata: "Alhamdulillah lebih ramai yang dapat manfaat tersebut, ini adalah satu syiar Islam yang mana kita di Jamiyah berbesar hati untuk membantu masyarakat kita yang berhajat melaksanakan ibadah korban sebagai ibadah tahunan.

"Tidak lupa juga sebagai syiar Islam agar ia dapat menyampaikan hajat mereka, sampaikan daging tersebut kepada mereka yang memerlukan."

Jamiyah Singapore

(Gambar: Jamiyah Singapura)

Para sohibul korban juga boleh mengambil daging korban yang ditempah secara pandu lalu, dengan tempoh yang dijarak-jarakkan, di ibu pejabat Jamiyah hari ini.

Tahun ini juga kali kedua khidmat tersebut dijalankan, dengan sekitar 70 sohibul korban diperuntukkan bagi setiap satu jam.

Sekitar 60 peratus sohibul korban bagaimanapun memilih supaya daging korban yang ditempah dihantar langsung ke rumah mereka pada hujung minggu ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan