Images
  • haig road smm covid-19 breach
    Pelanggan di Pasar & Pusat Penjaja Haig Road pada 8-10 Okt 2021 langgar peraturan COVID-19 (Gambar: NEA)

84 langgar peraturan COVID-19 di pusat penjaja pada hujung minggu

SINGAPURA: Tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap 84 orang kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 di pusat penjaja pada hujung minggu lalu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Isnin (11 Okt).

Mereka didapati berkumpul dalam kumpulan melebihi dua orang, gagal menjaga jarak selamat 1 meter, tidak memakai pelitup atau menurunkannya, menurut agensi itu.

Pemeriksaan yang dijalankan dari 8 hingga 10 Oktober, meliputi tempat-tempat seperti Pusat Penjaja Newton, Pusat Penjaja Whampoa, Pasar & Pusat Penjaja Haig Road, Pusat Penjaja Golden Mile, Pasar & Pusat Penjaja Hong Lim, serta Pasar & Pusat Penjaja Chinatown Complex.

Pusat-pusat penjaja itu juga dikenal pasti dalam kenyataan media NEA minggu lalu sebagai tempat-tempat di mana orang awam cenderung berkumpul, berlegar-legar dan gagal mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.

"Walaupun keadaan semakin bertambah baik di pusat-pusat ini, kami masih menyaksikan SMM (langkah-langkah pengurusan selamat) tidak dipatuhi dan akan terus memantau keadaan," menurut NEA pada Isnin.

Agensi itu turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa.

"Walaupun sebahagian besar orang awam bekerjasama, terdapat segelintir pesalah yang enggan bekerjasama dan kadangkala bertindak kasar," dedah NEA.

"Pihak berkuasa memandang serius terhadap perbuatan mendera pegawai awam secara lisan atau fizikal dan akan mendakwa mereka di mahkamah jika perlu."

Mulai Rabu, hanya mereka yang lengkap divaksin boleh duduk makan di pusat penjaja dalam kumpulan dua orang semeja. Kanak-kanak tidak divaksin yang berusia bawah 12 tahun juga boleh membentuk sebahagian daripada kumpulan dua orang semeja.

Orang yang tidak divaksin atau belum lengkap divaksin hanya boleh membawa pulang makanan dari pusat penjaja, sesuai dengan langkah sebelumnya yang dilaksanakan di kedai-kedai makanan dan minuman yang lain.

"Warga emas digesa supaya mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan jika perlu, meminta anggota keluarga yang tinggal serumah atau jiran membelikan makanan untuk mereka," nasihat NEA.

Agensi itu juga mengingatkan pengunjung ke pasar dan pusat penjaja supaya mendaftar masuk dan keluar menggunakan TraceTogether, sekalipun kawasan keluar masuk tidak dikendalikan.

- CNA/TQ/tq

Top