Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

82% pekerja, majikan di S'pura berpendapat vaksinasi COVID-19 patut diwajibkan di tempat kerja

Sekitar lapan daripada setiap 10 (82 peratus) pekerja dan majikan di Singapura percaya bahawa vaksinasi bagi melawan COVID-19 seharusnya diwajibkan di tempat kerja, berdasarkan satu tinjauan oleh laman kerja yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Indeed.

Anggaran Waktu Membaca:
82% pekerja, majikan di S'pura berpendapat vaksinasi COVID-19 patut diwajibkan di tempat kerja

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 03:58PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 04:00PM

SINGAPURA: Sekitar lapan daripada setiap 10 (82 peratus) pekerja dan majikan di Singapura percaya bahawa vaksinasi bagi melawan COVID-19 seharusnya diwajibkan di tempat kerja, berdasarkan satu tinjauan oleh laman kerja yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Indeed.

Tinjauan itu, yang dijalankan antara Julai dengan Ogos, turut mendapati bahawa sekitar lima daripada 10 pekerja (54 peratus) di sini berpendapat bahawa rakan-rakan kerja mereka yang secara aktif memilih untuk tidak divaksin sepatutnya diberhentikan kerja. Namun, hampir empat daripada 10 pekerja (39 peratus) merasakan bahawa langkah sedemikian mungkin keterlaluan.

Tinjauan itu meninjau 1,000 pekerja dan 251 majikan dalam sektor teknologi, perbankan, kewangan dan perusahaan di Singapura. Dapatan tinjauan tersebut dikeluarkan pada Selasa (7 Sep).

Ia juga menunjukkan bahawa 79 peratus majikan dan 84 peratus pekerja di sini bersetuju bahawa syarikat-syarikat seharusnya berusaha untuk mengetahui siapa dalam kalangan pekerja mereka yang belum atau sudah divaksin.

"Sokongan kuat terhadap vaksinasi menunjukkan kesungguhan untuk melangkah keluar daripada pandemik yang membebankan ekonomi, kesejahteraan fizikal dan emosi," menurut laporan itu.

Buat masa ini, vaksinasi tidak diwajibkan ke atas para pekerja warga Singapura yang mahu kembali ke pejabat.

Sungguhpun demikian, semua majikan digesa supaya melaksanakan rejim yang memerlukan para pekerja mereka divaksin sepenuhnya atau mensyaratkan pekerja yang tidak divaksin untuk menjalani ujian berkala bagi memastikan tempat kerja bebas daripada koronavirus.

Walaupun begitu, satu makluman daripada pemerintah, majikan dan kesatuan yang dikeluarkan pada bulan lalu menyatakan bahawa pihak majikan "tidak boleh sama sekali" memberhentikan atau mengancam untuk memberhentikan seseorang pekerja semata-mata berdasarkan status vaksinasinya. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan