Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

80 kakitangan MUIS ziarah 3 kuil, eratkan hubungan silang agama, sebar rahmah Ramadan

Sudah menjadi tradisi bagi kakitangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menziarahi dan mengagihkan bubur masjid kepada penduduk di kawasan kejiranan setiap menjelangnya Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah menjadi tradisi bagi kakitangan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk menziarahi dan mengagihkan bubur masjid kepada penduduk di kawasan kejiranan setiap menjelangnya Ramadan.

Tahun ini tidak terkecuali.

Seramai 80 kakitangan MUIS menyingsing lengan hari ini (21 Mei) untuk mengagihkan bubur kepada penduduk di 200 rumah di kejiranan Serangoon North Ave 1.

Rombongan itu disertai kumpulan relawan daripada Roses Of Peace.

Usaha murni itu selaras dengan mesej sentuhan Ramadan tahun ini yang memberi tumpuan menyerbarkan sifat rahmah dan kasih sayang kepada jiran tetangga.

"Ini adalah satu acara di mana kita dapat mendekati, mendampingi masyarakat dengan berbuka dengan mereka, sempena kempen bulan Ramadan pada tahun ini.

"Ini adalah salah satunya kita mendekatkan diri kepada masyarakat, menyebarkan Rahmatan Lil Alamin, memupuk silaturrahim, memupuk bersama jiran, tidak kira dari pelbagai bangsa dan agama," kata Encik Fahmi Aliman, Timbalan Ketua Eksekutif MUIS.

Selain itu, ziarah juga dilakukan ke institusi masyarakat dan agama berdekatan dengan Masjid Istiqamah termasuk - Yio Chu Kang Chapel, Kuil Hiang Foo Siang dan Kuil Sri Darma Muneeswaran.

"Selain itu, pegawai MUIS juga memberi hamper kepada institusi keagamaan dan kemasyarakatan di sini juga, ini bukan pertama kali kita lakukan, masjid-masjid juga telah melakukan di dalam dan di luar bulan Ramadan," tambahnya lagi.

Tempat-tempat masyarakat seperti Balai Polis, Sekolah Menengah Bowen dan Kelab Masyarakat Serangoon turut diziarahi mereka.

Selain mengeratkan hubungan silang agama di kawasan kejiranan, ziarah tersebut juga bagi menyebarkan mesej di sebalik rahmah Ramadan.

Antara pemimpin MUIS yang turun padang ialah Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood, kedua-dua Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad dan Encik Fahmi Aliman, serta Pengarah Undang-Undang MUIS, Cik Shahla Iqbal.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan