Images
  • Airshow
    Orang ramai di Pertunjukan Udara Singapura 2018. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

80,000 pengunjung membanjiri Pertunjukan Udara Singapura 2018

SINGAPURA: Hampir 80,000 orang membanjiri Pusat Pameran Changi pada hujung minggu lalu untuk menyaksikan Pertunjukan Udara Singapura.

Pihak penganjurnya menyatakan jumlah itu membuktikan Singapura benar-benar sebuah hab pengangkutan udara.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam (11 Feb), penganjur Pertunjukan Udara Singapura, Experia Events, menyatakan para pengunjung pelbagai usia dari merata dunia datang ke pusat tersebut untuk "menyaksikan pertunjukan-pertunjukan udara yang menakjubkan dan juga melihat pesawat terbaru komersil dan tentera".

"Kami berbesar hati menerima sokongan memberangsangkan bagi edisi keenam Pertunjukan Udara Singapura, kerana ia menarik para pengunjung dan pempamer dari merata dunia," menurut Pengarah Urusan Experia Events Leck Chet Lam.

"Ini menunjukkan Singapura adalah hab pengangkutan udara bukan sahaja dalam industri tetapi juga bagi para penggemar di merata dunia.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak berkepentingan dan rakan-rakan niaga atas sokongan padu mereka dan kami ingin menganjurkan Pertunjukan Udara Singapura 2020 yang lebih menarik dan menakjubkan."

Edisi Pertunjukan Udara Singapura seterusnya akan diadakan pada tahun 2020, dari 11 hingga 16 Februari di lokasi yang sama.

Pada Jumaat lalu (9 Feb), pihak penganjur mengumumkan Pertunjukan Udara Singapura tahun ini mencatat kenaikan lebih 10 peratus pengunjung perdagangan dari sekitar 150 negara dan wilayah berbanding dua tahun lalu.

Hujung minggu lalu, para pengunjung diberi peluang untuk meninjau-ninjau dan melihat secara dekat pesawat tentera dan komersil di acara tersebut.

Mereka juga menikmati pertunjukan udara yang mengagumkan, termasuk pertunjukan aksi nekad oleh pasukan udara bersepadu AngkatanTentera Udara Republik Singapura (RSAF).

Orang ramai khususnya gembira dapat berinteraksi dan meminta autograf beberapa juruterbang di sana.

Pada tahun 2016, Pertunjukan Udara Singapura juga menarik lebih 80,000 pengunjung.

- TODAY/NK/nk

Top