Images
  • htx launch
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyaksikan demonstrasi sistem kawalan sempadan automatik HTX. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

8 teknologi prototaip dipamerkan di pelancaran HTX

SINGAPURA: Kenderaan pertama seumpamanya yang boleh mengesan dan memintas dron serta robot anjing yang boleh menyelamatkan nyawa. Kedua-duanya merupakan antara lapan prototaip teknologi yang dipamerkan di pelancaran Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Robot anjing dipanggil Rover-X merupakan responden pertama dalam menyokong usaha menyelamat apabila terjadinya bencana. Ia akan dikerah ke kawasan yang terlalu bahaya untuk dimasuki manusia.

Namun, Rover-X tidak sendirian kerana terdapat satu lagi robot yang mampu memasuki ke ruang-ruang kecil di bawah timbunan runtuhan bangunan. Ia mempunyai kamera haba, mikrofon dan alat sensor untuk mengesan manusia yang terperangkap.

Kedua-dua robot tersebut sedang melalui ujian penilaian sebelum boleh digunakan.

Contoh-contoh prototaip lain termasuk cap jari yang meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti suspek dan mangsa.

Pusat Forensik Pakar HTX bekerjasama dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk menghasilkan serbuk nano.

Penggunaan serbuk tersebut membolehkan jantina dan kaum seseorang itu diketahui menerusi cap jari yang tidak begitu jelas.

Terdapat juga rancangan untuk meningkatkan keupayaannya bagi mengenal pasti gaya hidup seseorang seperti tabiat merokok.

Singapura adalah dalam kalangan segelintir agensi keselamatan di dunia yang membuat kajian dalam bidang tersebut.

XENTINEL pula direka untuk boleh bertindak dengan amat pantas bagi memintas dron. Ia akan diuji pihak polis dalam masa beberapa bulan mendatang.

Selain itu, HTX sedang meneroka cara lebih canggih menerbangkan dron dengan menggunakan konsep 'kotak dron'.

Kotak itu berperanan sebagai pangkalan bagi dron dan ia boleh diletakkan di kawasan-kawasan yang berbahaya. Ia juga meluaskan lagi keupayaan pasukan Home Team untuk mengerahkan dron bagi operasi rumit jarak jauh. 

- CNA/NF/fz

Top