Images
  • on
    Gambar fail dron. (Gambar: Tobias Schwarz/AFP)

8 laporan terbang dron tanpa izin dekat Lapangan Terbang Changi sejak 3 tahun lalu

SINGAPURA: Sebanyak lapan laporan diterima mengenai sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), atau lebih dikenali sebagai dron, yang terbang dalam lingkungan lima kilometer berdekatan Lapangan Terbang Changi sepanjang tiga tahun lalu. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (14 Jan).

Bagaimanapun, tidak satu pun kes itu melibatkan pencerobohan ke dalam kawasan lapangan terbang.

Dron tidak dibenarkan terbang di kawasan lingkungan lima kilometer berdekatan lapangan terbang, tanpa permit di Singapura.

Dr Lam berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan empat Anggota Parlimen (AP) . Cik Foo Mee Har dan Encik Darryl David, ingin tahu sekiranya Lapangan Terbang Changi Singapura mudah terjejas akibat dron, seperti yang berlaku di Lapangan Terbang Gatwick di London, dan sama ada langkah-langkah sudah diambil untuk mencegah insiden seperti itu daripada berlaku.

Bulan lalu, penerbangan dron yang tidak dibenarkan melumpuhkan lapangan terbang kedua terbesar di Britain selama tiga hari, menyebabkan sekitar 1,000 penerbangan dibatalkan atau dilencong dan menjejas sekitar 150,000 penumpang.

Menurut Dr Lam, para pegawai penguatkuasa undang-undang di Singapura melakukan rondaan kerap di sekitar Lapangan Terbang Changi dan cepat bertindak terhadap sebarang dron yang dikesan diterbangkan tanpa izin.

Beberapa langkah pencegahan untuk menangani ancaman keselamatan yang ditimbulkan daripada dron juga melibatkan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). Dr Lam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut, atas sebab "pertimbangan keselamatan".

Apabila ditanya oleh Cik Foo sama ada pihak berkuasa mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti pengendali dron yang berniat jahat dan mengerahkan teknologi anti-dron untuk mengesan isyarat atau halang penggunaannya, Dr Lam menjawab bahawa agensi-agensi penguatkuasa undang-undang sedang membangunkan keupayaan masing-masing.

Ini termasuk keupayaan untuk mengesan dan mengenal pasti pesawat tanpa pemandu, mengesan pengendali dan menjatuhkan dron-dron itu dengan cara yang "selamat".

- CNA/NA/na

Top