Images
  • bishanmrt
    Gambar viral banjir di terowong Bishan. 

8 kakitangan SMRT dipecat berhubung insiden terowong banjir di Bishan

SINGAPURA: SMRT memecat lapan kakitangannya berhubung insiden terowong banjir di Bishan, menurut pengendali pengangkutan awam itu hari ini (27 Nov).

Seramai 13 pekerja didapati bertanggungjawab ke atas insiden tersebut.

Rumusan tersebut dibuat menyusuli siasatan dalaman dan sesi siasatan disiplin terhadap kakitangan yang dipertanggungjawabkan ke atas kerja-kerja penyelenggaraan di terowong Bishan-Braddell itu, menurut SMRT dalam satu kenyataan media.

Di antara kakitangan yang diberhentikan kerja termasuk seorang eksekutif kanan, dua pengurus dan lima kakitangan teknikal. Mereka merupakan anggota pasukan yang memalsukan rekod penyenggaraan pam. Ini termasuklah pengurus serta eksekutif kanan yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan bahawa penyelenggaraan pam dijalankan dalam tempoh tersebut.

Perkhidmatan kereta api terganggu selama sekitar 20 jam selepas banjir melanda terowong itu pada 7 Oktober akibat hujan lebat. Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan sebelum ini berkata bahawa pam-pam di terowong itu tidak diselenggarakan buat berbulan-bulan lamanya tetapi rekod penyelenggaraan bagi setiap suku ditandatangani dan diserahkan hingga bulan Jun tahun ini.

Para penyiasat turut mendapati bahawa naib presiden Tay Tien Seng dan pengurus kanan Ivan Kok gagal menjalankan pantauan yang memadai pada tempoh di mana rekod penyelenggaraan pam dipalsukan, menurut SMRT.

"Memandangkan mereka bukan lagi pekerja syarikat ini, SMRT mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mereka."

Tiga lagi eksekutif pengurusan, termasuk seorang Naib Presiden turut dikenakan denda kerana gagal menjalankan tanggungjawab dan ketekunan yang diharapkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan pam-pam.

"Menyusuli insiden itu, SMRT sudahpun memperkukuhkan proses-proses penyelenggaraan dan pemantauan," menurut pengendali pengangkutan awam itu. "Kami sudahpun membuat perubahan kakitangan kritikal kepada pasukan pengurusan dan penyelenggaraan." 

- CNA/SM/sm

Top