Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

8 anak Melayu/Islam raih Anugerah NIE tahun ini

Lebih 880 graduan Institut Pendidikan Nasional (NIE) menerima watikah pelantikan masing-masing untuk menjadi guru sepanjang dua hari ini (11 & 12 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 880 graduan Institut Pendidikan Nasional (NIE) menerima watikah pelantikan masing-masing untuk menjadi guru sepanjang dua hari ini (11 & 12 Jul).

Lapan anak Melayu/Islam menjadi antara hampir 40 penerima pelbagai anugerah yang dikeluarkan tahun ini.

BERITAMediacorp bertemu dengan dua orang pemenang dalam majlis hari ini.

BAPA SEBAGAI PENDIDIK UTAMA

Sejak kecil lagi Muhammad Asyraf Khalid melihat bapanya sebagai peran contoh dalam kehidupannya.

Akur bahawa bapanya tidak ke menara gading dan hanya bekerja sebagai seorang teknisyen, Asyraf tetap memandang tinggi dedikasi bapanya dalam mendidik beliau adik-beradik di rumah.

Kesungguhan bapanya mendidik mereka sekeluarga, membuatkan Asyraf bertekad ingin menjadi seorang guru.

"Kalau nak cakap tentang sumber inspirasi mestinya ayah saya kerana sejak dari kecil lagi keluarga saya dan ayah saya lagi telah memberitahu saya, walaupun apa yang saya bekerja, pastikan awak menjadi seorang yang berbakti dan berguna kepada masyarakatlah, dan saya pegang kata-kata itu sehingga hari ini, jadi itulah yang membuatkan saya menjadi seorang guru," kongsi Asyraf dengan pihak kami.

SALAH SEORANG KOHORT SULUNG TSP

Dengan berkat bapanya itu, Asyraf dinobat sebagai salah seorang graduan Melayu/Islam terbaik dengan Kepujian Tertinggi Sarjana Muda dalam Pendidikan, dengan pengkhususan dalam bahasa dan sastera Melayu.

Asyraf turut memenangi Anugerah Buku Koperatif Syarikat Guru-Guru Melayu Singapura.

Lebih manis lagi, Asyraf menjadi antara kohort sulung Program Sarjana Pendidikan (TSP) - yang dilancarkan NTU-NIE empat tahun lalu.

Menerusi program empat tahun itu, Asyraf diberikan lebih banyak pendedahan daripada aspek pembelajaran daripada graduan yang lainnnya. Sebagai contoh, beliau diberikan peluang menulis kertas kerja dan menghadiri pelbagai persidangan di dalam dan luar negara.

"Bagi saya program ini bukan sahaja memberikan peluang untuk kami belajar untuk menjadi seorang guru yang baik, tetapi guru di dalam bilik darjah saya, tetapi memberikan kami peluang untuk mempelajari dan menerokai apa yang boleh kita lakukan di luar bilik darjah.

"Serta bagaimana boleh kita lakukan atau gunakan peluang-peluang di luar bilik darjah untuk membantu pelajar-pelajar kita di masa hadapan," tambah Asyraf yang kini sudah bermula menjadi seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Canberra.

DARI LEFTENAN KE GURU SEKOLAH

Turut lulus dengan Kepujian Tertinggi dari NIE ialah Abdul Faqih Sinuan yang juga menjadi penerima Anugerah Buku Sports Singapore.

Bekas leftenan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) lulus dalam jurusan Pendidikan Jasmani.

Beliau memutuskan untuk menukar kerjaya selepas meraih pengalaman berkhidmat dengan generasi lebih muda daripadanya dan kini akan menjadi guru Pendidikan Jasmani.

Walaupun tidak mengajar subjek di dalam sebuah bilik darjah, bapa tiga orang anak ini gigih untuk menyemai nilai dan moral kepada anak didiknya menerusi Pendidikan Jasmani.

"Sebenarnya subjek latihan ataupun Pendidikan Jasmani adalah satu pengajaran yang sangat holistik, bukan sahaja kita mempelajari anak muda untuk memperbaiki aspek fizikalnya, tetapi juga dari segi aspek emosi, dari aspek sosialnya," ujar Faqih yang sudah dalam latihan di NIE lebih dari empat tahun.

Ditanya apakah aspirasinya pada masa hadapan sebagai seorang guru, Faqih berkongsi beliau ingin menjadi seorang guru yang efektif selain memberikan nasihat yang bermakna kepada anak-anak muridnya.

Para graduan hari ini menerima ijazah masing-masing dari Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, siang tadi. (11 Jul)  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan