Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

750 keluarga terima daging korban, nasi beriani menerusi agihan Darul Arqam

Sebanyak 750 keluarga kurang bernasib baik masing-masing menerima dua kilogram daging korban dan satu paket beriani hari ini (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 750 keluarga kurang bernasib baik masing-masing menerima dua kilogram daging korban dan satu paket beriani hari ini (16 Ogos).

Pengagihan anjuran Darul Arqam itu dilakukan dengan bantuan relawan yang menghantar bekalan tersebut menggunakan 60 kereta ke merata Singapura.

Pengagihan daging korban dan nasi beriani oleh Darul Arqam tetap diteruskan tahun ini dengan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan dek cabaran pandemik COVID-19.

(Gambar: Darul Arqam)

Ini termasuk mengurangkan kontak antara relawan Darul Arqam dengan pemandu kereta yang mengambil bahagian dalam acara agihan tersebut.

Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna akur jumlah orang yang dihadkan adalah cabaran terbesar bagi mereka.

Bagaimanapun dengan langkah-langkah keselamatan dilaksanakan, atur cara mereka tetap dapat dijalankan dengan lancar.

"Kami memastikan pada satu-satu masa hanya 10 kereta dibenarkan ke dalam persatuan itu dan para sukarelawan juga dibahagikan kepada dua hingga tiga kumpulan bagi menguruskan kereta-kereta, dan juga ada penghantaran tanpa sentuhan.

"Jadi walaupun ini semua adalah cabaran, kami bersyukur kerana kami dapat menjalankannya dengan mudah dan semua pihak memberi kerjasama," jelas Encik Imran.

PENGAGIHAN PERTAMA AP FAHMI ALIMAN

Datuk Bandar CDC Tenggara Encik Mohd Fahmi Aliman turut turun padang untuk menggembleng tenaga membantu.

Encik Fahmi ialah Anggota Parlimen (AP) Marine Parade bagi kawasan Geylang Serai dan
penyertaannya hari ini adalah pengalaman pertama beliau dalam pengagihan daging korban kepada keluarga memerlukan di merata negeri.

"Saya amat teruja dengan persiapan dan komitmen daripada sukarelawan dan para pemandu yang datang untuk mengagihkan daging-daging korban ini.

(Gambar: Darul Arqam)

"Saya rasa inisiatif ini sangat bagus dan penting sekali untuk kita bersama-sama dengan, bukan daripada Darul Arqam sahaja, tetapi badan-badan Melayu yang lain, boleh bergabung untuk membantu masyarakat yang memerlukan di Singapura," kata Encik Fahmi.

Pengagihan daging korban oleh Darul Arqam tahun ini ditaja bersama oleh Pergas, Hezom International dan Akademi Al-Falah sementara Darul Arqam menaja 1,000 bungkus nasi beriani.

JUMLAH PENERIMA LEBIH RENDAH NAMUN TETAP BERMAKNA

Daripada 750 keluarga yang menerima agihan tersebut, 500 daripadanya adalah penerima bantuan kewangan Darul Arqam, manakala 250 keluarga lain adalah penerima bantuan daripada Persatuan Bertindak Ginjal Masyarakat Islam (MKAC), Khidmat Kaunseling Masyarakat Islam, Casa Raudha dan Tasek Jurong Limited.

Jumlah penerima kali ini juga lebih kecil berbanding 1,100 keluarga, yang dibantu tahun lalu, di mana Darul Arqam mencipta rekod dalam Buku Rekod Singapura, bagi Konvoi Terbesar bagi penghantaran barang dapur demi amal.

Namun yang pasti, Darul Arqam tetap berharap pihaknya dapat terus menyentuh hati keluarga-keluarga penerima dan mengukuhkan silaturahim sesama Muslim menerusi pengagihan tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan