Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

75 pelanggan bank S'pura ditipu S$500,000 dek muslihat penggodam luar negara

Para penggodam luar negara menipu 75 pelanggan bank di Singapura sebanyak S$500,000 menerusi urus niaga palsu kad kredit yang dilakukan antara September dengan Disember tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
75 pelanggan bank S'pura ditipu S$500,000 dek muslihat penggodam luar negara

Gambar hiasan: Unsplash

Diterbitkan : 15 Sep 2021 07:53PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 07:55PM

SINGAPURA: Para penggodam luar negara menipu 75 pelanggan bank di Singapura sebanyak S$500,000 menerusi urus niaga palsu kad kredit yang dilakukan antara September dengan Disember tahun lalu.

Para penggodam itu melencongkan kiriman SMS bagi kata laluan sekali guna untuk melakukan urus niaga palsu kad kredit, dedah Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (15 Sep).

Siasatan-siasatan yang dijalankan oleh bank-bank terjejas mendapati sistem mereka tidak menunjukkan sebarang kelemahan dan bukan penyebab insiden-insiden tersebut.

Siasatan bersama oleh polis dan IMDA kemudian mendapati bahawa para pelaku dari luar negara berhasil mengakses sistem-sistem pengendali telekomunikasi luar negara dan mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengubah lokasi data telefon-telefon bijak yang digunakan oleh para mangsa di Singapura, menurut pihak berkuasa.

Mereka kemudian berupaya menerima kiriman SMS bagi kata laluan sekali guna yang dihantar oleh pihak bank kepada para mangsa menerusi sistem rangkaian telefon luar negara itu.

Selepas mendapatkan butiran kad kredit mangsa, para penggodam kemudian boleh melakukan urus niaga bayaran kad kredit secara online dan mengizinkan urus niaga tersebut menggunakan kata laluan sekali guna yang diperolehi itu.

Menurut MAS, IMDA dan SPF, rangkaian telekomunikasi luar negara yang terjejas sudahpun dikenal pasti dan dimaklumkan tentang kes tersebut.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menghukum para pelaku, tambah kenyataan bersama itu.

Bank-bank yang terjejas pula sudahpun menilai kes-kes berkenaan dan akan mengecualikan sebarang tindakan terhadap para pengguna terjejas yang telah menjaga maklumat peribadi mereka.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap perisian hasad dan percubaan untuk memancing maklumat peribadi, termasuk butiran kad kredit mereka.

Mereka seharusnya memastikan akaun bank, butiran kad kredit dan debit selamat setiap masa dan jangan mendedahkan butiran-butiran tersebut termasuk nombor kad pengenalan, kata laluan dan kod-kod kepada orang lain.

Orang ramai juga seharusnya mengemas kini peranti elektronik mereka dengan sofwe keselamatan dan antivirus yang terkini.

Sebaik-baiknya mereka seharusnya menggunakan khidmat online yang diyakini termasuk hanya memuat turun aplikasi daripada kedai-kedai online rasmi dan membeli barangan online menerusi platform-platform yang diiktiraf.

Mereka juga seharusnya memaklumkan pihak bank secepat mungkin sekiranya mereka mengetahui terdapat percanggahan atau urus niaga yang tidak diluluskan.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan