Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

700 pekerja 'terjejas'; Panasonic rancang henti operasi pengeluaran pemampat penyejukan di S'pura

Seramai 700 pekerja Panasonic di Singapura "terjejas" setelah syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi pengeluaran pemampat penyejukan di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Sep 2021 07:06PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 09:35PM

SINGAPURA: Seramai 700 pekerja Panasonic di Singapura "terjejas" setelah syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan operasi pengeluaran pemampat penyejukan di negara ini.

Ini disebabkan oleh "unjuran perniagaan global yang mencabar" serta "semakan strategik perniagaan jangka panjang Panasonic bagi portfolio perniagaan pemampat penyejukan", menurut firma Jepun itu dalam satu kenyataan media hari ini (23 Sep).

Operasi pengeluaran itu akan berakhir menjelang September tahun depan. Semua 700 pekerja itu dimaklumkan pagi tadi.

Panasonic menyatakan ia akan menyatukan operasi pengeluaran pemampat dengan kemudahan sedia ada di Malaysia dan China.

Operasi pembentukan (casting) juga akan dijalankan di kilang mereka di Melaka.

Jabatan kajian dan pembangunan syarikat itu bagaimanapun akan terus beroperasi di Singapura, yang mana ia kekal sebagai ibu pejabat perniagaan pemampat penyejukan syarikat itu.

"Terdapat 700 pekerja secara keseluruhan yang terjejas oleh proses semakan itu," menurut syarikat itu.

"Kami bekerja rapat dengan pihak berkuasa relevan, agensi-agensi pemerintah dan Persatuan Pekerja Industri Elektronik dan Elektrikal (UWEEI) bagi memastikan kesemua pekerja yang terjejas diberi sokongan semasa peralihan termasuk bantuan dalam penempatan pekerjaan."

Panasonic menegaskan bahawa Singapura kekal sebagai "hab serantau dan penting".

"Kumpulan Panasonic di Singapura akan terus menggajikan lebih 1,400 kakitangan di seluruh bidang perniagaan, termasuk pengeluaran bernilai tinggi, R&D dan ibu pejabat Asia Pasifik," ia menambah.

"Kami akan terus melabur di Singapura bagi menyokong strategi pertumbuhan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi dan terus menyumbang kepada masyarakat dalam Asia Pasifik dan menjangkauinya."

MATA PENCARIAN PEKERJA TERJEJAS SATU KEUTAMAAN

UWEEI menyatakan bahawa ia akan terus bekerjasama dengan Panasonic Appliances Refrigeration Devices Singapore (PAPRDSG) "bagi memastikan bahawa kesemua pekerja terjejas menerima bantuan dan sokongan sewajarnya supaya mereka menerima layanan adil".

"Syarikat ini komited untuk memberi pampasan pemberhentian kerja kepada para kakitangan seperti yang tertera dalam Perjanjian Bersama, iaitu lebih tinggi berbanding norma industri," menurut kesatuan perdagangan itu dalam kenyataan media hari ini.

Mata pencarian yang terjejas disebabkan pemberhentian kerja itu kekal sebagai keutamaan, ia menambah.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan