Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

700 orang diberkas setiap tahun kerana menceroboh; 12% melibatkan budak bawah umur

Sejak tempoh lima tahun lalu, purata 700 individu diberkas setiap tahun kerana menceroboh.

Anggaran Waktu Membaca:
700 orang diberkas setiap tahun kerana menceroboh; 12% melibatkan budak bawah umur

Papan tanda amaran ceroboh. (Gambar: Flickr/Tristan Schmurr)

Diterbitkan : 27 Feb 2018 04:23PM Dikemas Kini : 27 Feb 2018 04:28PM

SINGAPURA: Sejak tempoh lima tahun lalu, purata 700 individu diberkas setiap tahun kerana menceroboh.

Demikian didedahkan oleh Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin di Parlimen hari ini (27 Feb).

Sekitar 12 peratus atau 84 daripada individu tersebut adalah remaja bawah usia 16 tahun.

"Pengalaman polis menunjukkan kes-kes menceroboh yang dilakukan remaja seringkali disebabkan pengaruh kawan atau keinginan untuk mencari keseronokan pada masa lapang," kata Encik Amrin, sambil menambah mereka akan menceroboh tempat-tempat seperti sekolah-sekolah yang kosong dan bumbung bangunan.

Encik Amrin mendedahkan demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar, Joan Pereira, yang bertanya tentang kes pencerobohan dan akses tidak sah ke hartanah privet dan kawasan larangan.

"Individu-individu itu mungkin menceroboh kawasan privet dan tanah milik negara atas pelbagai sebab, termasuk kegiatan haram seperti maksiat atau sebab-sebab lain yang kurang berniat jahat seperti untuk memasuki lokasi memancing di pantai atau memungut durian," kata Encik Amrin.

Sementara itu, purata 580 kes pencerobohan dilaporkan kepada polis setiap tahun sejak tempoh lima tahun lalu.

Daripada jumlah itu, purata 30 kes setiap tahun melibatkan perbuatan merosakkan harta benda awam dan perbuatan nakal.

"Polis tidak memantau kes ceroboh dari segi sama ada ia melibatkan kematian dan kecederaan," ujar Encik Amrin.

Polis sudah bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk mempertingkat kawalan keselamatan dan mencegah perbuatan menceroboh, tambah Encik Amrin.

"Polis juga sudah memasang papan amaran jenayah di beberapa kawasan di mana pernah berlaku insiden dan bekerjasama dengan Majlis-Majlis Bandaran bagi memastikan bumbung flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dikunci untuk mencegah akses tidak sah," kata beliau.

Papan-papan tanda juga dipasang di tempat-tempat larangan seperti kemudahan tentera dan kawasan latihannya serta tanah-tanah milik negara untuk memberi amaran kepada orang awam supaya jangan menceroboh," tambah beliau.

Dari segi penerbangan dron di kawasan larangan, Encik Amrin berkata Home Team bekerjasama dengan para pemilik lokasi sensitif untuk menyemak dengan kerap langkah-langkah keselamatan berdasarkan penilaian ancaman sedia ada.

"Para pegawai penguat kuasa boleh menghentikan penerbangan dron atau mengawalnya jika ia mengancam keselamatan awam atau diterbangkan dengan cara yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengemudian Udara," kata beliau.

Agensi-agensi penguatkuasaan juga sedang berusaha mempertingkat keupayaannya untuk menangani ancaman keselamatan daripada dron, tambah beliau.

"Ini termasuk keupayaan mengesan dan mengenal pasti dron tersebut untuk menjejak lokasi pengendalinya atau memintasnya dengan selamat."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan