Images
  • interfaith
    Pemimpin belia raikan Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia di Masjid An-Nahdhah. (Gambar: MUIS)

70 pemimpin belia sebar mesej kedamaian sempena Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia

SINGAPURA: Menjadi teras semua kepercayaan agama adalah sifat saling menghargai dan menyokong antara satu lama lain serta hidup aman damai yang berkekalan. Berdasarkan prinsip inilah, Masjid An-Nahdhah, Pusat Harmoni dan 70 pemimpin belia berbilang agama 'berganding bahu' hari ini (9 Feb) untuk menyebarkan mesej kedamaian di sekitar kawasan kejiranan Bishan sempena meraikan Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia.

Malah, sempena sambutan Tahun Baru Cina, para pemimpin belia ini turut beramah mesra dengan para penduduk sambil mengagih-agihkan buah oren dan berbalas-balas ucapan perayaan tersebut.


(Gambar-gambar: MUIS)

Inisiatif itu bagi menghargai nilai-nilai yang dipegang teguh oleh masyarakat berbilang kaum di Singapura yang lebih condong kepada perpaduan masyarakat majmuk dan bukan menyerlahkan perbezaan - apa yang diperlukan Singapura adalah keharmonian dan aman damai bagi semua masyarakat di sini.

Berucap kepada para pemimpin kanan dan belia semasa jamuan silang agama pada akhir acara, Ketua Pusat Harmoni Ustaz Mohamed Ali Atan melahirkan penghargaannya terhadap kesungguhan yang ditonjolkan oleh golongan belia dalam usaha memupuk keharmonian agama.

"Saya yakin generasi lebih muda akan meneruskan usaha ini sebagai 'duta kedamaian' dan melakukan lebih banyak lagi untuk menekankan betapa pentingnya memelihara keharmonian agama di Singapura," kata Ustaz Mohamed Ali.


Bagi menyebarkan rahmah kepada masyarakat yang lebih luas, acara derma darah juga diadakan di masjid berkenaan. Ini merupakan kali pertama acara seumpama itu dianjurkan oleh Masjid An-Nahdhah.

Acara tahunan itu diadakan pada minggu pertama bulan ini dan acara ini turut diisytiharkan dalam ketetapan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Oktober 2010. Dalam ketetapan itu, Perhimpunan Agung menarik perhatian kepada pentingnya sikap saling memahami dan mengadakan dialog silang agama bagi membentuk dimensi penting budaya keharmonian.


Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia juga satu cara bagi memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat, tidak kira agama masing-masing.

Acara tahun ini bertemakan "Kemajuan Berkekalan melalui Keharmonian Silang Agama", dan menyediakan wadah bagi semua kumpulan silang agama untuk menyerlahkan dan mengukuhkan gerakan silang agama.  

- BERITAmediacorp/aq

Top