Images

70 pelajar dan datuk nenek masing-masing raikan Hari Datuk Nenek anjuran PPIS

SINGAPURA: Hari Datuk Nenek disambut di Singapura hari ini (24 Nov). Ia diraikan pada Ahad keempat setiap bulan November.

Bagi meraikan hari istimewa ini, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), terlebih dahulu sudah menganjurkan satu acara dipanggil Hari Aktif Datuk Nenek PPIS 2019 pada Jumaat (22 Nov).

Acara itu adalah sebahagian usaha menggalak gaya hidup lebih sihat serta mengeratkan lagi hubungan datuk nenek dengan cucu masing-masing.

Seramai 70 pelajar dari dua Pusat Jagaan Pelajar PPIS berganding bahu dengan datuk nenek masing-masing untuk menyertai satu 'telematch' yang cukup menyeronokkan.


Selama tiga jam mereka mengikuti pelbagai kegiatan yang menggalak kesihatan jasmani termasuk satu ceramah oleh Club Heal yang membincangkan isu-isu kesihatan mental bagi warga tua khususnya.

Menerusi acara itu, yang diadakan buat pertama kalinya dengan kerjasama SportCares, PPIS berharap ia menyumbang kepada usaha mengeratkan 'hubungan antara generasi' di kalangan golongan muda dan tua.

"Kami juga ingin memperingati, warga Generasi Perintis dan Merdeka dan kami ingin mengingatkan mereka supaya mereka menghargai pembelajaran sepanjang hayat demi kesihatan mereka.

"Kami berharap acara ini dapat mengeratkan hubungan antara warga emas dan cucu mereka dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik," kata Cik Kalthom Kassim, seorang Penyelia dari Pusat Jagaan Pelajar PPIS (Jurong).

ACARA SEBAGAI WADAH UNTUK WARGA MUDA MENGENANG JASA YANG LEBIH DEWASA

Acara yang berlangsung di Pusat Sukan Pasir Ris itu disertai oleh Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Yaacob Ibrahim, selaku tetamu terhormat. Menyokong inisiatif tersebut, beliau berharap acara itu mampu menjadi pemacu buat golongan warga emas untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.


(Gambar-gambar: PPIS)

"Bagi tahun ini di mana kita memperingati dwiabad Singapura, saya rasa ini satu langkah yang baik bagi kita untuk menentukan bahawa generasi muda terus sanjung tinggi sumbangan daripada generasi yang lebih dewasa yang usia lanjut. Bagaimana mereka boleh melanjutkan sumbangan mereka terhadap Singapura," kata Dr Yaacob.

Di akhir sesi tersebut, setiap peserta diberi buah tangan sebagai tanda penghargaan.

Para peserta yang ditemui BERITAmedicorp turut melahirkan rasa puas hati dengan kegiatan yang disediakan.

"Acara hari ini agak memuaskan sekali kerana dapat berinteraksi dengan semua yang ada di sini dengan Active SG, PPIS, dengan cucu-cucu. Alhamdulillah, sangat seronok hari ini," kata Encik Kismat Ghulam Muhammad.

Perasaan teruja turut dikongsi Cik Rokiah Ahmad: "Hari ini, saya rasa segar, sihat, dapat masuk game dengan budak-budak ini. Jadi saya gembiralah hari ini. Saya rasa semua nenek-nenek, datuk-datuk gembira untuk cucu-cucu untuk keluarga semua."

Selaras dengan misinya untuk menguatkan lagi tali kekeluargaan, PPIS berharap kaum keluarga dapat terus memberikan sokongan dalam usaha penuaan aktif warga emas. 

- BERITAmediacorp/tq

Top