Images
  • tsunami
    Ombak tsunami membadai Selat Sunda pada 22 Disember 2018. (Gambar: Ferdi Awed/AFP)

70 masjid S'pura kumpul dana bagi bantu mangsa tsunami Selat Sunda

BERITAmediacorp: Kesemua 70 masjid di Singapura, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan melancarkan kempen mengumpul dana khas bagi membantu ribuan mangsa tsunami di Selat Sunda, Indonesia.

Dari Jumaat ini (4 Jan) hingga Khamis depan (10 Jan), orang ramai boleh membuat sumbangan derma di semua 70 masjid tempatan menerusi tabung-tabung derma yang ditandakan "In Aid of Survivors of Sunda Strait Tsunami".

RLAF juga akan memulakan kempen pengumpulan dana secara online menerusi laman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) iaitu https://www.zakat.sg/ePayment/donations.aspx dan melalui aplikasi MuslimSG, dari esok (1 Jan) hingga Khamis depan (10 Jan).

Selain itu, orang ramai juga boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai atau cek.

Cek-cek boleh diserahkan kepada RLAF dengan "In Aid of Survivors of Sunda Strait Tsunami" ditulis di bahagian belakang cek.

Wang tunai dan cek boleh dikirimkan ke alamat-alamat berikut:

a) Pejabat RLAF
Masjid Yusof Ishak, Tingkat 4
10 Woodlands Drive 17
Singapura 737740

b) MUIS
Hab Islam Singapura
273 Braddell Road
Singapura 579702

Pada 22 Disember 2018, ombak tsunami membadai Selat Sunda di wilayah Banten dan Lampung di Indonesia tanpa sebarang amaran.

Tsunami itu dicetuskan akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau, sekaligus menyebabkan kemusnahan prasarana serta kehilangan harta benda dan ramai nyawa.

Menurut laporan-laporan, angka korban akibat tsunami berkenaan sudah mencecah lebih 400 orang dengan beribu-ribu yang lain cedera.

RLAF menyatakan bahawa dana yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Mercy Relief.

Buat masa ini, para wakil Mercy Relief berada di Selat Sunda bagi melakukan penilaian keperluan masyarakat yang terjejas akibat tragedi tersebut.

Pasukan Mercy Relief itu juga sudah mula menjalankan kerja-kerja bantuan kemanusiaan dari segi menyediakan bekalan seperti keperluan asas, barangan bantuan dan khidmat perubatan.  

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top