Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 pemimpin veteran & 5 tokoh muda terima penghargaan berprestij Anugerah MUIS50

Tujuh orang pemimpin masyarakat terkemuka yang sejak 50 tahun lalu menyumbang kepada MUIS dan masyarakat amnya, diberi penghargaan istimewa malam ini (6 Okt) sempena ulang tahun MUIS yang ke-50.

Anggaran Waktu Membaca:
7 pemimpin veteran & 5 tokoh muda terima penghargaan berprestij Anugerah MUIS50

Ustaz Tarmizi Wahid (kanan), Ustaz Zahid Zin (kiri). (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Tujuh orang pemimpin masyarakat terkemuka yang sejak 50 tahun lalu menyumbang kepada MUIS dan masyarakat amnya, diberi penghargaan istimewa malam ini (6 Okt) sempena ulang tahun MUIS yang ke-50.

Dipanggil Anugerah Khas MUIS50, ia disampaikan dalam majlis Anugerah MUIS 2018, yang diadakan di hotel Fairmont Singapore & Swissotel The Stamford.

Buat pertama kalinya juga, lima tokoh muda tempatan dipilih menerima Anugerah Belia Inspirasi MUIS50, bagi mengiktiraf sumbangan berkesan mereka dalam bidang sosioagama tempatan.

Anugerah Khas MUIS50 mengiktiraf individu-individu yang sumbangan mereka pelbagai - dari yang melibatkan diri dalam bidang agama seperti haji, masjid dan wakaf sehinggalah yang memberikan panduan kepada masyarakat berhubung isu-isu sosioagama.

INI SENARAI PENERIMA ANUGERAH KHAS MUIS50

Presiden Halimah Yacob yang menjadi tetamu kehormat, menyampaikan anugerah tersebut kepada para penerima.

Setiap penerima Anugerah Khas MUIS50 turut memerima hadiah berbentuk wang sebanyak $3,000 setiap seorang.

Berikut ini senarai tujuh pemimpin masyarakat yang terpilih, termasuk seorang penerima anumerta:

Hj Shafawi Ahmad
Beliau sudah berkhidmat dan menyumbang kepada MUIS sebagai anggota Majlis MUIS sejak tahun 1986 sehingga sekarang. Ini menjadikan beliau anggota majlis yang paling lama berkhidmat.

Ustaz Pasuni Maulan
Beliau merupakan salah satu guru agama yang dikenali dengan khidmat unggulnya kepada masyarakat. Sumbangannya meliputi institusi-institusi agama seperti MUIS, sektor masjid dan madrasah serta dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB).
Ustaz Ali Mohamed
Beliau dikenali atas komitmennya dalam pemulihan keagamaan serta khidmatnya di Masjid Khadijah. Ustaz Ali juga banyak menyumbang dalam MUIS dan pembangunan asatizah. Beliau sekarang menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)

Ustaz Mohamed Hasbi Hassan
Seorang cendekiawan agama yang juga banyak menyumbang dalam pendidikan Islam serta pembangunan asatizah dan pemulihan keagamaan. Beliau juga berkhidmat sebagai Presiden PERGAS sejak tahun 1986 sehingga sekarang.

Allahyarham Syed Abdullah Haroon Aljunied (Anumerta)
Semasa hayatnya Allahyarham Syed Abdullah banyak menyumbang kepada pembangunan agama dan merupakan seorang pemimpin bagi masyarakat Arab di Singapura.

Hj Abdul Rahim Abdul Jalil
Beliau adalah bekas Hakim Daerah yang dihormati para pengamal undang-undang. Selama 30 tahun beliau juga membuat sumbangan besar kepada pembangunan undang-undang keluarga Islam melalui khidmatnya di Mahkamah Syariah serta Lembaga Rayuan.

Hj Sallim Abdul Kadir
Pengarah Modal Insan bagi CONSISTEL dan bekas Pengarah Sumber Manusia di PricewaterhouseCoopers. Beliau mendedikasikan 25 tahun hayatnya berkhidmat untuk masyarakat dan terlibat dengan lembaga dan jawatankuasa dalam pelbagai pertubuhan masyarakat serta pemerintah.

PENERIMA ANUGERAH KHAS MUIS50 DERMAKAN HADIAH $3,000

Semasa menyampaikan ucapannya, Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar, mendedahkan bahawa kesemua penerima Anugerah Khas MUIS50 memutuskan untuk mendermakan hadiah wang itu kepada lima badan kebajikan. Bermakna, ia berjumlah S$21,000.

"MUIS akan memadankan dan menokok jumlah yang diikrarkan itu, menjadikan jumlahnya kepada $50,000," kata beliau.

Ini bermakna, setiap daripada lima badan kebajikan berkenaan akan menerima $10,000.

Badan-badan kebajikan yang dimaksudkan ialah Persatuan Ain, Pusat Barah Serenity, Rumah Wanita Casa Raudha, Club HEAL, Pusat Rainbow dan Persatuan bagi Orang-Orang Berkeperluan Khas (APSN).

ANUGERAH BELIA INSPIRASI HANYA UNTUK TAHUN 2018 INI

Seiring dengan semangat MUIS50 - Semarak Langkah Berjiwa Rahmah - MUIS mengiktiraf generasi pelapis sukarelawan dengan memberi penghargaan kepada lima anak muda yang boleh dicontohi.

Anugerah Belia Inspirasi MUIS50 diadakan buat pertama kali dan ia hanya diberikan pada tahun ini kepada tokoh-tokoh muda yang dipilih - sempena ulang tahun ke-50 MUIS.

Mereka termasuk CEO Muslim Youth Forum (MYF), Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin; CEO Safinah Institute, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid; Pengasas FiTree, Nur Khairiana Mohamad Malek; CEO Majulah Community, Mohksin Mohd Rashid dan Presiden Roses of Peace, Abbas Ali Mohamed Irshad.

USTAZAH SUKARTI ASMOIN DIANUGERAHI JASA CEMERLANG

Di majlis anugerah tahunan itu, MUIS turut memberi pengiktirafan tertinggi, Jasa Cemerlang kepada mantan mudirah atau pengetua Madrasah Al-Ma'arif Ustazah Sukarti Asmoin.

Beliau yang kini Naib Presiden PERGAS itu merupakan tokoh wanita berpengaruh dalam pembangunan institusi agama di sini.

Lagi tujuh tokoh masyarakat juga diberi penghargaan menerusi Anugerah Jasa Bakti.

Mereka adalah Haji Abu Bakar Omar, Faridah Eryani Bte Pairin, Ustazah Harinah Abdul Latiff, Haji Mohamed B Mohamed Salleh Patail, Haji Noordin Abd Sukor, Dr Shaik Ahmad Buhari dan Ustazah Sumah Bte Fadalee.

Ini bermakna, kesemuanya 20 anugerah dikeluarkan MUIS dalam acara tersebut.

Dalam pada itu, satu cek bernilai $100,000, hasil kutipan masyarakat Islam Singapura bagi Cabaran Presiden 2018, juga diserahkan kepada Presiden Halimah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan