Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 kemalangan maut di tempat kerja sejak awal Feb "amat membimbangkan", kata Zaqy Mohamad

Sebanyak tujuh kemalangan maut berlaku di tempat kerja dalam bulan Februari ini dan keadaan itu "sangat membimbangkan". 

Anggaran Waktu Membaca:
7 kemalangan maut di tempat kerja sejak awal Feb "amat membimbangkan", kata Zaqy Mohamad

Pekerja di tapak binaan. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 22 Feb 2021 11:30PM Dikemas Kini : 22 Feb 2021 11:33PM

SINGAPURA: Sebanyak tujuh kemalangan maut berlaku di tempat kerja dalam bulan Februari ini dan keadaan itu "sangat membimbangkan". Ini berbanding 30 kes kematian yang dilaporkan di Singapura sepanjang tahun lalu.

Demikian menurut Menteri Kanan Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad hari ini (22 Feb).

Keadaan itu kata Encik Zaqy, merupakan "trend membimbangkan" bagi sepanjang tahun ini, sambil menambah kemalangan tersebut berlaku di pelbagai industri termasuk binaan, pengangkutan dan simpanan barang dan marin.

Kemalangan-kemalangan itu menyebabkan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) serta Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) menggesa masa rehat selamat dikeluarkan terhadap penggunaan mesin.

Ia melibatkan semakan ke atas kegiatan dan protokol-protokol.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Encik Zaqy menggesa para majikan dan pekerja supaya menilai semula tempat kerja dan prosedur keselamatanny sedia ada.

"Kejadian-kejadian itu boleh dicegah dengan penilaian risiko tempat kerja secukupnya dan prosedur keselamatan sewajarnya dilaksanakan. Secara khusus, terdapat dua kes di mana pekerja yang maut mengendalikan boom lift dan trak angkat susun, meskipun mereka tidak dilatih dan tidak diberi kelulusan (menggunakan mesin itu)," kata beliau.

"Kontraktor yang menggunakan mesin-mesin berat sedemikian harus memastikan hanya mereka yang terlatih dan mempunyai tauliah dibenarkan mengendalikan operasi peralatan sedemikian. Kunci mesin ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja di dalam kenderaan tersebut."

PEKERJA DITEMUI TIDAK SEDARKAN DIRI; PENGARAH TERJATUH DALAM LUBANG

Tujuh kemalangan yang berlaku pada bulan Februari ini melibatkan tiga pekerja yang terjatuh dari tempat tinggi, tiga yang terperangkap antara objek dan seorang yang terlibat dalam kemalangan berkaitan trafik di tempat kerja, menurut Majlis WHS dalam satu catatan berasingan.

Dalam satu insiden pada 1 Februari, seorang pekerja pemasang plaster ditemui tidak sedarkan diri dan berkulai di bahagian panel kenderaan boom lift. Beliau dikejarkan ke hospital di mana pekerja itu disahkan mati, menurut pemberitahuan kemalangan yang dikeluarkan oleh majlis tersebut.

Dalam satu lagi kemalangan pada 10 Februari, seorang pengarah syarikat sedang menyelia tapak binaan di sebuah kediaman apabila dia terjatuh menerusi lubang di lantai, dan terhempas dari ketinggian sekitar 4.7 meter ke bawah. Lelaki itu disahkan mati di tempat kejadian.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat kedua-dua kemalangan.

Encik Zaqy menyatakan MOM akan mempertingkat langkah penguatkuasaan dengan lebih tumpuan diberi pada risiko bekerja di tempat tinggi serta penggunaan mesin dengan selamat.

MOM akan menyasarkan sektor-sektor berisiko tinggi seperti industri binaan, pengilangan dan marin dalam beberapa bulan mendatang, kata beliau.

"MOM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat-syarikat yang tidak mempunyai langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka," tegas Encik Zaqy.

Tindakan juga akan diambil ke atas mana-mana pekerja yang didapati mengendalikan mesin tanpa kebenaran atau latihan mengendalikannya. Ini termasuk membatalkan pas kerja bagi pekerja asing, kata beliau.

Pengerusi WSH John Ng berkata kemalangan boleh "dicegah dengan mudah" jika penilaian risiko yang betul dijalankan dan pegawai di tapak mematuhi prosedur-prosedur keselamatan di tempat kerja.

"Saya amat bimbang dengan berlakunya tujuh kemalangan maut di tempat kerja yang tidak pernah terjadi sebelum ini dan ia satu kehilangan nyawa yang sebenarnya tidak harus berlaku," kata beliau.

"Saya menggesa semua majikan supaya mengeluarkan arahan masa rehat selamat khususnya bagi penggunaan mesin, untuk menilai dan menyemak semula proses keselamatan sedia ada serta melaksanaan segera langkah-langkah untuk memastikan amalan-amalan keselamatan terbaik." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan