Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7,700 warga Singapura terima subsidi CHAS tidak tepat akibat kesilapan perisian: MOH

Satu kesilapan dalam sistem komputer yang ditadbir NCS mengakibatkan sekitar 7,700 orang menerima subsidi tidak tepat bagi khidmat jagaan kesihatan serta penjagaan jangka pertengahan dan jangka panjang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (16 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2019 07:59PM Dikemas Kini : 16 Feb 2019 11:20PM

SINGAPURA: Satu kesilapan dalam sistem komputer yang ditadbir NCS mengakibatkan sekitar 7,700 orang menerima subsidi tidak tepat bagi khidmat jagaan kesihatan serta penjagaan jangka pertengahan dan jangka panjang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (16 Feb).

Mereka yang terjejas adalah daripada kalangan penduduk yang mana permohonan mereka untuk mendaftar atau memperbaharui kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) diproses antara 18 September dengan 10 Oktober tahun lalu.

NCS adalah unit yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Singtel dan merupakan syarikat berpangkalan di Singapura yang menyediakan perkhidmatan IT.

Kesilapan berlaku dalam sistem komputer semasa menghitung keputusan ujian upaya (means-test).

Sistem ujian tersebut mengira subsidi penjagaan kesihatan yang layak diterima seseorang penduduk berdasarkan maklumat pendapatan mereka. Ujian itu dijalankan dalam pengagihan subsidi penjagaan kesihatan agar bantuan kewangan boleh dihulurkan kepada lebih ramai keluarga berpendapatan rendah.

"Ujian upaya dan peringkat subsidi bagi semua individu yang terjejas sudah dibetulkan sehingga 16 Feb 2019," menurut MOH.

MOH menyatakan mereka yang terjejas tidak perlu berbuat apa-apa buat masa ini. Kementerian itu menambah ia sedang bekerja rapat dengan penyedia khidmat penjagaan kesihatan dan pentadbir skim untuk menghubungi mereka yang terjejas.

"Sekitar 1,300 individu yang mendapat subsidi lebih rendah akan diberikan baki subsidi sewajarnya.

"Lagi 6,400 individu menerima subsidi lebih tinggi akibat kesilapan itu tetapi mereka tidak perlu memulangkan subsidi tambahan yang diagihkan," tambah MOH.

Kes pertama kesilapan dikesan pasukan yang memproses CHAS pada 24 September 2018 dan NCS dimaklumkan dengan serta-merta, menurut MOH.

"Isu tersebut pada mulanya dikaitkan dengan masalah hubungan rangkaian yang terputus-putus. Lima lagi kes kemudian dikesan antara 9 Oktober dengan 2 November, dan satu siasatan lebih menyeluruh dilakukan," tambah kementerian tersebut.

Pada lewat November, NCS mengesan punca utama masalah itu pada versi perisian di server komputer yang digunakan oleh sistem ujian daya. Ia berlaku apabila sistem itu dialihkan ke pusat data pemerintah yang lain pada September.

"Ini mengakibatkan ujian daya dihitung tanpa maklumat pendapatan. NCS mendapati bahawa pasukannya sudah membetulkan versi perisian lebih awal pada 10 Oktober 2018 sebagai respons kepada satu isu berasingan.

"Ini menghalang berlakunya kes-kes kesilapan selanjutnya namun tidak membetulkan keputusan ujian daya yang dijana antara 18 September dengan 10 Oktober 2018," menurut MOH.

SUBSIDI TEPAT DIPULIHKAN JELANG 16 FEB

MOH menyatakan ia bekerjasama dengan NCS dari Disember untuk menentukan sejauh mana kesan masalah itu, termasuk tahap subsidi yang tepat bagi setiap individu di bawah khidmat dan skim berbeza. Ini bagi menentukan siapa yang sepatutnya mendapat subsidi yang lebih ataupun kurang.

Ujian terakhir selesai pada 14 Jan dan MOH bekerjasama dengan pentadbir skim geran dan institusi penjagaan kesihatan untuk menetapkan rancangan langkah pembetulan, termasuk bagaimana individu yang terjejas akan dimaklumkan dan dibayar semula.

Tahap subsidi yang tepat bagi semua penduduk yang terjejas diperbetulkan pada 16 Feb.

Penyedia khidmat dan pentadbir skim itu akan secara bertahap-tahap memaklumkan individu terjejas dan membuat aturan mengembalikan wang jika perlu.

"Kami menjangka kesemua indivdu terjejas diberitahu jelang pertengahan Mac 2019," menurut MOH.

MOH menambah, NCS sudah mengakui kesilapan yang berlaku dan mengambil langkah tambahan dengan mengetatkan proses pengerahan sistem.

"Langkah-langkah keselamatan tambahan sudah dilaksanakan untuk mengelakkan berulangnya insiden sedemikian. NCS menegaskan lagi komitmennya untuk memenuhi piawai tinggi sebagai penyedia khidmat.

"MOH memandang serius insiden ini dan bekerja bersama NCS untuk melakarkan langkah-langkah pembetulan sewajarnya. MOH akan bekerja dengan NCS berhubung langkah untuk mengelakkan kesilapan sebegini pada masa hadapan," menurut kementerian itu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan