Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7,100 orang alah vaksin mRNA diundang dapatkan suntikan Sinovac: MOH

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan setakat 29 Ogos, pihaknya telah menghubungi sekitar 7,100 individu yang mengalami reaksi alahan selepas dos pertama vaksin COVID-19 jenis utusan asid ribonukleik (mRNA), untuk menerima vaksin Sinovac.

Anggaran Waktu Membaca:
7,100 orang alah vaksin mRNA diundang dapatkan suntikan Sinovac: MOH

Dos vaksin Sinovac. (Gambar: Willy Kurniawan/REUTERS)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 09:17AM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 09:18AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan setakat 29 Ogos, pihaknya telah menghubungi sekitar 7,100 individu yang mengalami reaksi alahan selepas dos pertama vaksin COVID-19 jenis utusan asid ribonukleik (mRNA), untuk menerima vaksin Sinovac.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, kementerian itu menyatakan pada Jumaat (3 Sep) bahawa sekitar 3,900 orang telah menunjukkan minat untuk mendapatkan suntikan Sinovac.

Lebih 1,100 orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka manakala sekitar 570 melengkapkan rejimen vaksinasi penuh vaksin Sinovac di bawah program ini.

“Sejak awal Julai, Kementerian Kesihatan telah mempelawa individu yang menerima satu dos vaksin COVID-19 mRNA tetapi secara perubatan tidak dapat menerima dos kedua atas sebab tindak balas alahan, untuk menerima vaksin Sinovac-CoronaVac di empat klinik hospital awam," tambahnya.

"Individu-individu ini akan dihubungi dalam sebulan setelah dicatat mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin mRNA."

Awal bulan ini, MOH menyatakan 200,000 dos vaksin Sinovac telah diperuntukkan dan bekalan baru dijangka tiba dalam empat hingga enam minggu sesudah itu.

Selain 170,000 dos yang diperuntukkan untuk institusi kesihatan swasta, 30,000 dos diketepikan bagi warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin mRNA, dan untuk tujuan-tujuan lain.

MASIH MENANTI

Cik Aishah, seorang pembantu ujian swab di sebuah firma perubatan swasta yang enggan mendedahkan nama penuhnya, berkata beliau masih menunggu untuk mendaftarkan minatnya bagi suntikan Sinovac.

Wanita berusia 24 tahun itu mengalami reaksi alahan selepas menerima suntikan pertama Pfizer-BioNTech pada Januari.

"Saya sangat kecewa ... saya tidak dapat makan luar bersama keluarga, pergi ke gim atau menonton wayang. Saya seorang saja dalam kalangan keluarga dan rakan saya yang tidak divaksinasi,” kata Cik Aishah.

Pegawai khidmat pelanggan Siti A Abdullah, yang juga mengalami alahan setelah menerima suntikan pertama Pfizer-BioNTech pada Julai, berkata beliau telah menghubungi hotline MOH dan diberitahu supaya menunggu empat hingga enam minggu lagi untuk menerima SMS bagi pelawaan suntikan Sinovac.

Cik Diana, seorang penganalisis berusia 25 tahun yang juga enggan memberikan nama penuhnya, berkata beliau masih menunggu khabar daripada pihak berkuasa setelah mendaftarkan minatnya bagi vaksin Sinovac sebulan yang lalu.

Beliau mengalami gatal-gatal setelah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada Julai.

Sementara sebilangan penduduk tidak sabar untuk dapatkan suntikan Sinovac mereka, pengurus akaun, Siti Hamzah, 26 tahun, sedang menunggu pilihan lain.

"Dua dos Sinovac hanya memiliki kadar keberkesanan 51 peratus terhadap (jangkitan bergejala) koronavirus asli, itu belum lagi varian Delta ... Jadi mengapa harus saya mengambil Sinovac?

"Saya akan menunggu bagi Novavax kerana kadar keberkesanan (90 peratus) jauh lebih tinggi," katanya.

Novavax dibangunkan di Amerika Syarikat dan tidak berdasarkan teknologi mRNA yang digunakan di Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Pada Jun, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata vaksin itu masih menjalani ujian klinikal dan Singapura sedang bekerja rapat dengan syarikat bioteknologi dan menunggu permohonan untuk kelulusan kawal selia. Bekalan vaksin tersebut diharap tiba sebelum hujung tahun ini.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan