Images
  • bto flat
    Sebuah flat BTO di Singapura. 

68% projek HDB sudah siap tertunda sehingga 6 bulan

SINGAPURA: Hampir 70 peratus daripada projek-projek perumahan awam HDB yang siap dibina sejak tahun lalu mengalami kelengahan sehingga enam bulan.

Baki projeknya pula tertunda buat tempoh lebih lama, antara tujuh hingga 10 bulan.

Secara keseluruhannya, HDB sudah menyelesaikan 25 projek perumahan sejak pandemik COVID-19 melanda.

Kerja-kerja binaan terhenti semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan sekatan-sekatan akibatnya pada tahun lalu.

Projek perumahan HDB, Alkaff Oasis, di Bidadari, misalnya, tertunda selama lapan bulan. Ini menjejas perancangan bagi sesetengah pembeli flat.

"Akhirnya kami terpaksa tinggal di rumah ibu bapa saya selama lapan bulan. Kami tidak mempunyai ruang. Oleh itu, salah seorang anggota keluarga saya secara sukarela tidur di ruang tamu agar kita ada bilik sendiri," kata Erra Idham, pemilik flat.

Sebuah lagi projek, Bedok North Vale, siap lewat sehingga enam bulan.

Untuk mempercepatkan kerja-kerja binaan, HDB bekerjasama dengan kontraktor utama untuk membina tempat tinggal sementara di tapak-tapak binaan dan mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja.

Selain itu, HDB membantu para kontraktor untuk mengutamakan tugas-tugas penting seperti menyiapkan kerja-kerja di dalam flat dahulu sebelum meneruskan dengan kerja-kerja di ruang bersama.

Ada juga pemeriksaan yang dilakukan secara maya untuk mengurangkan jumlah orang di tapak binaan.

Menurut HDB, pihaknya akan memantau kesan pandemik COVID-19. Misalnya, ia dilakukan menerusi panggilan video untuk para jurutera HDB memastikan tempat meletak kereta atau lampu dipasang dengan betul.

Ia juga bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi bagi memastikan agar projek-projek tersebut dapat disiapkan dengan lebih cepat.

Secara keseluruhannya, HDB sudahpun menyiapkan lebih 16,000 rumah baru sejak Januari tahun lalu.

Pemilik rumah perlu menunggu buat purata lebih empat tahun untuk rumah mereka siap.  

- CNA/AI/fz

Top