Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

66 kereta api tertua MRT akan digantikan dari 2021

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudah membeli 66 kereta api baru untuk menggantikan kereta api tertua di sepanjang Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL) yang dikendalikan SMRT.

Anggaran Waktu Membaca:
66 kereta api tertua MRT akan digantikan dari 2021

Lukisan artis menunjukkan reka bentuk kereta api baru menjelang 2021. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 25 Jul 2018 07:41PM Dikemas Kini : 25 Jul 2018 07:47PM

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sudah membeli 66 kereta api baru untuk menggantikan kereta api tertua di sepanjang Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL) yang dikendalikan SMRT.

LTA mengumumkan pada Rabu (25 Jul) bahawa pihaknya akan menerima kereta api tersebut yang dihasilkan syarikat Kanada Bombardier secara bertahap-tahap dari 2021.

66 kereta api 'perintis' yang akan digantikan sudah berkhidmat kepada penumpang sejak NSEWL dilancarkan pada 1987.

Bercakap di majlis menandatangani kontrak, Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata "keadaan haus dan lusuh setelah 30 tahun amat ketara".

Beliau juga berkata kerja-kerja naiktaraf dan penyenggaraan pada kereta api tersebut juga "ada hadnya".

"Lantas setelah berdekad-dekad, tidak lama lagi tiba masa untuk kereta api ini ditamatkan khidmatnya."

LTA sedang menimbangkan menyimpan satu atau dua kereta api 'perintis' itu untuk dipamerkan kepada orang awam.

SOKONGAN PENYENGGARAAN JANGKA PANJANG

Menurut Encik Khaw, Bombardier dipilih kerana ia merupakan rakan syarikat yang sudah dikenali. Syarikat tersebut membekalkan kesemua 92 kereta api laluan Downtown.

Bombardier juga menawarkan pilihan sokongan teknikal dan lojistik kepada SMRT selama 30 tahun sebagai sebahagian daripada kontrak kereta api baru itu.

Jika SMRT memilih untuk mengambil pilihan itu, nilai keseluruhan pakej berjumlah S$1.2 bilion. Tidak termasuk kos penyenggaraan, harga 66 kereta api baru itu adalah sekitar S$827 juta.

CIRI CANGGIH DAN INKLUSIF

Kereta-kereta api baru akan dilengkapi ciri 'penyenggaraan ramalan' yang dapat meningkatkan keandalan NSEWL.

Kenderaan-kenderaan tersebut akan dilengkapi pelbagai pengesan yang membolehkan para jurutera mengesan keganjilan operasi lebih awal dan mengelakkan kerosakan.

Empat kereta api akan dipasang dengan sistem Pemeriksaan Landasan Automatik (ATI) canggih yang juga dapat mengesan kerosakan pada landasan.

Lukisan artis menunjukkan reka bentuk dalam kereta api baru menjelang 2021. (Gambar: LTA)

Tambah Encik Khaw, reka bentuk kereta api baru juga memenuhi keperluan semua penumpang, termasuk yang berlainan keperluan.

"Tanpa mengurangkan bilangan tempat duduk kereta api, para jurutera kami memperuntukkan ruang lebih luas dekat pintu-pintu untuk membolehkan para penumpang keluar dan masuk kereta api dengan lebih mudah.

"Ibu bapa dengan kereta sorong bayi, pengguna kerusi roda dan penumpang yang membawa PMD atau basikal lipat juga dapat memanfaatkan reka bentuk baru ini," tambahnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan