Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 remaja curi lebih S$1,000 dari gerai epok-epok Yishun

Enam remaja merancang untuk memperoleh 'wang mudah' dengan merompak gerai-gerai di sebuah pusat penjaja pada tengah malam. Mereka mencuri sekitar S$1,000 dari sebuah gerai epok-epok di Pusat Penjaja Yishun Park.

Anggaran Waktu Membaca:
6 remaja curi lebih S$1,000 dari gerai epok-epok Yishun

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 14 Jun 2019 10:59PM Dikemas Kini : 14 Jun 2019 11:02PM

SINGAPURA: Enam remaja merancang untuk memperoleh 'wang mudah' dengan merompak gerai-gerai di sebuah pusat penjaja pada tengah malam.

Mereka mencuri sekitar S$1,000 dari sebuah gerai epok-epok di Pusat Penjaja Yishun Park. Salah seorang daripada mereka memanjat masuk gerai manakala seorang lagi remaja, Ng Qiang Qing, menunggu rakannya.

Pada Jumaat (14 Jun), Ng, 17 tahun, dijatuhi hukuman probesyen dua tahun atas kesalahannya. Dia mengaku bersalah atas kesalahan mencuri, merusuh dan bersubahat untuk membantu menyamar sebagai seorang pegawai awam.

Dia diarahkan menjalani kerja-kerja kemasyarakatan selama 180 jam dan menginap selama setahun di Singapore Boys' Hostel, sebuah institusi probesyen juvenil. Ayahnya membayar ikat jamin S$5,000 bagi memastikan anaknya berkelakuan baik.

EMPAT GERAI PENJAJA DIROMPAK

Mahkamah diberitahu bahawa rompakan di pusat penjaja itu dilakukan pada 17 Julai 2018 oleh Ng dan lima remaja lain yang berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Seorang daripada mereka menggunakan kerusi untuk memanjat tembok dan memasuki gerai epok-epok kepunyaan Encik Zaidi Zainal dan mencuri S$1,064 dari peti wang tunai.

Apabila remaja itu memanjat keluar dari gerai tersebut, hanya Ng yang sedang menunggunya, sedang remaja-remaja lain sudah meninggalkan tempat kejadian.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa mereka turut mencuri wang tunai dari tiga gerai lain.

Encik Zaidi membuat aduan polis keesokan harinya setelah mendapati kesemua wangnya lesap semasa membuka gerainya.

SAMAR DIRI SEBAGAI POLIS, TIPU PEKERJA ASING

Ng dan sekumpulan remaja turut terlibat dalam rusuhan pada 30 April tahun ini di Yishun Avenue 11.

Selang beberapa jam kemudian pada 6.15 pagi, 1 Mei, Ng melakukan satu lagi kesalahan.

Dia dan tiga rakannya mencuri wang dari dua pekerja asing warga Bangladesh yang sedang tidur di Sentosa Boardwalk.

Salah seorang remaja menyamar diri sebagai pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan menuntut dua pekerja asing itu menunjukkan permit kerja dan menyerahkan dompet.

Kumpulan remaja itu kemudian merampas dompet dan mengambil S$379 daripada dompet itu.

Apabila seorang lagi pekerja itu enggan menyerahkan dompet, Ng dan salah seorang remaja kemudian berpura-pura membuat panggilan meminta bantuan pegawai polis lain.

Tindakan Ng itu setara dengan kesalahan bersubahat untuk menyamar diri sebagai pegawai awam.

Seorang anggota awam kemudian menelefon polis bagi pihak pekerja asing itu dan melaporkan bahawa kumpulan remaja itu sudah melarikan diri dengan wang yang dicuri.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan