Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 perkara penting laporan Jawatankuasa Pilihan Kepalsuan Online Disengajakan

Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online yang Disengajakan (DOF) sudah mengeluarkan laporan setebal 176 muka surat yang mengandungi saranan-saranan bagi menangani berita palsu serta prinsip-prinsip yang menjadi panduan ketika melakarkan saranan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
6 perkara penting laporan Jawatankuasa Pilihan Kepalsuan Online Disengajakan

Para anggota Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online yang Disengajakan. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 21 Sep 2018 12:28AM Dikemas Kini : 21 Sep 2018 12:43AM

SINGAPURA: Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online yang Disengajakan (DOF) sudah mengeluarkan laporan setebal 176 muka surat yang mengandungi saranan-saranan bagi menangani berita palsu serta prinsip-prinsip yang menjadi panduan ketika melakarkan saranan tersebut.

Laporan itu dikeluarkan enam bulan selepas Jawatankuasa itu mengadakan perbincangan awamnya yang terakhir pada lewat Mac, setelah ia ditubuhkan untuk mengkaji masalah DOF dan mengumpulkan bukti menerusi keterangan bertulis dan lisan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Semasa perbincangan-perbincangan awam itu, Jawatankuasa berkenaan mendengar keterangan daripada pakar-pakar, wakil-wakil media, syarikat-syarikat teknologi dan kumpulan-kumpulan hak tempatan. Jawatankuasa itu menerima 170 keterangan bertulis daripada orang awam.

Dalam laporannya, Jawatankuasa Pilihan membuat kesimpulan bahawa "campur tangan Pemerintah adalah penting" dalam usaha membanteras DOF sedang ia mengusulkan langkah-langkah menerusi perundangan atau sebaliknya seperti pendidikan awam dan sekatan jenayah.

Inilah 6 perkara yang harus anda tahu mengenainya:

1) Mengapakah harus Pemerintah campur tangan dalam usaha ini?

Jawatankuasa Pilihan percaya bahawa DOF tidak boleh dibanteras dengan semula jadi menerusi aliran maklumat. Jawatankuasa itu menarik perhatian kepada bukti yang menunjukkan bahawa DOF boleh disebarkan dengan lebih pantas dan lebih nyata berbanding fakta sebenar disebabkan oleh faktor psikologi, sosial dan teknologi.

2) Apakah sebenarnya yang dianggap sebagai kepalsuan?

Kepalsuan melibatkan fakta yang dapat dibuktikan, bukan pandangan, tanggapan falsafah mengenai maklumat benar ataupun tanggapan moral mengenai apa yang betul atau yang salah, menurut Jawatankuasa itu sambil menambah bahawa inilah yang turut disifatkan oleh undang-undang dan mahkamah-makhamah.

Jawatankuasa itu menarik perhatian bahawa sebelum ini terdapat keraguan semasa menyifatkan isu-isu yang kurang jelas berbanding maklumat palsu, seperti sama ada bahan-bahan tertentu menunjukkan eksploitasi kanak-kanak atau pengganasan yang begitu melampau. Namun, ia bersetuju bahawa ini tidak seharusnya menghambat usaha untuk menangani bahan-bahan tersebut.

3) Apakah kesannya terhadap kebebasan bersuara?

Jawatankuasa Pilihan menyatakan bahawa usaha membanteras DOF sejajar dengan hak kebebasan bersuara, sambil menambah bahawa berita palsu mengancam demokrasi.

Jawatankuasa itu juga menyarankan agar langkah-langkah terhadap DOF disesuaikan supaya ia tidak begitu luas, sambil menekankan bahawa kepalsuan boleh meninggalkan kesan yang berbeza seperti mencetuskan kekeliruan sehingga mengancam keselamatan negara.

4) Apakah sesetengah langkah-langkah yang disarankan?

Langkah-langkah bukan perundangan termasuk pendidikan awam di sekolah-sekolah serta menggalak institusi-institusi awam untuk bertindak balas terhadap DOF pada tepat masanya.

Langkah-langkah undang-undang yang disarankan pula termasuk pihak berkuasa dengan pantas menghentikan penyebaran dan pengaruh DOF, dan ini mungkin melibatkan menanda sebarang pembetulan atau pemberitahuan serta ada kuasa untuk mengarah sesuatu diturunkan dan menyekat akses.

5) Bagaimana langkah-langkah ini akan menjejas anda?

Jawatankuasa itu menyarankan agar sekatan-sekatan jenayah dikenakan ke atas dalang DOF. Sekatan-sekatan itu akan dikenakan ke atas pelbagai dalang dan cara, termasuk dalang yang mungkin bukanlah pereka atau penyebar kepalsuan, tambah jawatankuasa tersebut.

Namun, jawatankuasa itu menyatakan bahawa langkah-langkah pencegahan itu harus diambil hanya di bawah kriteria tertentu, dengan seseorang itu mesti didapati bersalah melakukan jenayah tersebut. Misalnya, jika mereka didapati mempunyai tujuan atau pengetahuan untuk menyebarkan berita palsu.

"Perbuatan itu mesti menyebabkan kerosakan besar seperti gangguan dalam pilihan raya, kekacauan awam dan kehilangan keyakinan terhadap institusi-institusi awam," tambah jawatankuasa itu.

6) Apakah kesannya terhadap platform-platform online?

Jawatankuasa itu menyarankan agar Pemerintah menimbang untuk mengawal syarikat-syarikat teknologi bagi mencegah dalang-dalang DOF daripada menyalahgunakan platform-platform online serta memastikan agar syarikat-syarikat lebih bertanggungjawab dan bersikap telus.

Ini bermakna menggesa syarikat-syarikat untuk menutup akaun-akaun palsu yang bertujuan menyebar DOF, melarang mengongsi kepalsuan dan memaklumkan para pengguna mengenai bagaimana ciptaan platform itu mempengaruhi kandungan maklumat yang diterima oleh mereka.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan