Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 penganut Buddha dari Kuil Shinnyo-en jadi sukarelawan di Masjid Al-Abdul Razak

Solat Aidiladha di Masjid Al-Abdul Razak hari ini (11 Ogos) tidak kurang istimewa apabila semangat berbilang agama cukup terserlah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Solat Aidiladha di Masjid Al-Abdul Razak hari ini (11 Ogos) tidak kurang istimewa apabila semangat berbilang agama cukup terserlah.

Buat pertama kalinya di masjid tersebut, enam orang penganut agama Buddha menyingsing lengan menjadi 'sukarelawan masjid' demi membantu kelicinan solat Hari Raya Haji.

Masjid berdekatan Jalan Eunos itu lazimnya hanya boleh memuatkan 700 jemaah.

Demi menampung lebih ramai jemaah solat Aidiladha, ia perlu menggunakan sebahagian ruang jalan raya bertentangan dengan pintu masuk utama Masjid Al-Abdul Razak itu.

Dengan melakukan demikian masjid ini dapat menampung tambahan lagi 300 jemaah di luar.

Namun dalam satu pemandangan yang jarang-jarang anda lihat, di masjid ini sebelum tersebut, seawal jam 8.00 pagi lagi, enam orang penganut agama Buddha dari Kuil Shinnyo-en datang untuk menjadi sukarelawan.

Apa tugas mereka? Mengendalikan lalu lintas kenderaan dengan membantu melencongkan kenderaan yang melalui jalan tersebut supaya sebaliknya menggunakan jalan lain.

Dengan bantuan para penganut Buddha itu seperti Encik Alain Silva itu, kakitangan dan sukarelawan masjid tidak perlu melakukan tugasan tersebut dan boleh duduk mendengar khutbah Aidiladha dengan tenang.

"Peluang sebegini amat baik di mana kita dapat membantu masyarakat lain," kata Encik Silva.

Bantuan seperti itu juga mencegah berlakunya sebarang sesakan trafik sehinggalah setelah berakhirnya solat Hari Raya.

"Singapura adalah negara berbilang agama, namun ada juga persamaan, iaitu, ibadah. Lantas, kami amat memahami kepentingan solat kepada rakan-rakan umat Islam kami," ujar Cik Tan Pia Tiang, Pengurus Kuil Buddha Shinnyo-en kepada BERITAmediacorp.

Yang pasti, bak kecil tapak tangan, syiru pegawai Masjid Abdul Razak tadahkan.

"Kita sungguh gembira, Alhamdulillah kita dapat relawan daripada luar. Dan ini akan dapat meringankan tugas kita menutup jalan dan juga untuk jemaah dan relawan kita solat Hari Raya tanpa bimbang atau tanpa berlari ke sana ke sini," ujar Syed Salleh, Setiausaha Masjid Al-Abdul Razak tentang sumbangan tenaga penuh ihsan itu.

Walaupun ini julung-julung kalinya sukarelawan beragama Buddha membantu dengan cara begini, Kuil Shinnyo-en dan Masjid Abdul Razak sebenarnya sudah mula bekerjasama dalam bidang lain sejak tahun 2011.

Ini dilakukan di bawah Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee.

Jelas Pengerusi IRCC Kembangan-Chai Chee pula: "Kita dapat menunjukkan bahawa masyarakat Singapura dapat memupuk keharmonian agama, perpaduan masyarakat dalam konteks masyarakat yang majmuk dan inklusif di Singapura ini."

IRCC Kembangan-Chai Chee sejak beberapa tahun lalu juga mengadakan sesi-sesi dialog dan sesi menziarahi tempat-tempat ibadah bagi membina persefahaman kuat antara agama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan