Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 orang didenda kerana berkumpul di Pulau Sekijang Pelepah di tengah penularan COVID-19

Enam orang yang mengambil bahagian dalam satu perhimpunan seramai 12 orang di Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) masing-masing didenda S$3,000 pada Khamis (26 Nov) kerana melanggar peraturan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
6 orang didenda kerana berkumpul di Pulau Sekijang Pelepah di tengah penularan COVID-19

Sekumpulan individu hadapi tindakan undang-undang kerana adakan perhimpunanbesar di Pulau Sekijang Pelepah semasa COVID-19 (Gambar: Facebook/San Kee Lim)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 02:07PM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 02:12PM

SINGAPURA: Enam orang yang mengambil bahagian dalam satu perhimpunan seramai 12 orang di Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island) masing-masing didenda S$3,000 pada Khamis (26 Nov) kerana melanggar peraturan COVID-19.

Keenam-enam tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan bertemu dengan orang lain bagi tujuan yang tidak dibenarkan dan tanpa alasan yang munasabah di bawah peraturan COVID-19.

Mereka adalah: Warga Britain William Edwin Dunford, 32, Richard Henri Lagesse, 31, Lowri Mair Jeffs, 31, Zoe Louise Cronk, 30, Jeff Richard Alexander, 32, dan rakyat Singapura Natalie Joanna Sarkies, 29.

Seorang lagi tertuduh, Paul Jonathon Gold, 32, adalah yang pertama mengaku bersalah dan didenda S$3,000 pada bulan Oktober.

Sekitar 11.00 pagi 8 Ogos, kumpulan itu menaiki feri ke Pulau Sekijang Bendera (St John's Island) sebelum berjalan di pantai Pulau Sekijang Pelepah. Mereka meluangkan masa selama sehari di sana sebelum menaiki feri ke tanah besar Singapura pada sekitar 6.00 petang.

Pihak pendakwa mengusulkan denda S$3,000 bagi keenam-enam orang yang mengaku bersalah pada Khamis, sambil mendedahkan bahawa Gold sudah didenda dengan jumlah yang sama.

Peguam bela Shafiuddin Ong pada awalnya mewakili kesemua enam tertuduh tetapi diberhentikan oleh Sarkies, Lagesse and Cronk pada Khamis.

Semasa mewakili Dunford, Jeffs dan Alexander, beliau berkata anak guamnya sudah menyedari akan kesan tingkah laku mereka dan menyesali perbuatan mereka itu.

Beliau selanjutnya berkata bahawa kes-kes yang disebut oleh pihak pendakwa berlaku semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 manakala perhimpunan tersebut diadakan semasa Fasa 2 pembukaan semula Singapura. Beliau meminta denda dikurangkan kepada S$2,500 setiap seorang.

Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh menegaskan bahawa hanya kerana kejadian itu berlaku semasa Fasa 2, ini tidak bermakna hukuman lebih ringan akan dijatuhkan kerana pelonggaran langkah-langkah jarak selamat tidak ada kena-mengena dengan hukuman yang dijatuhkan.

Beliau turut menegaskan bahawa tertuduh melanggar langkah-langkah yang dilaksanakan untuk mencegah gelombang kedua jangkitan COVID-19 dan pihak mahkamah tidak seharusnya menyokong perbuatan yang bersikap sambil lewa terhadap peraturan yang dikuatkuasakan.

Atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19, tertuduh boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes-kes untuk lima tertuduh yang lain masih belum selesai: Joshua Adam Roth, Edward John Joseph Lee-Bull, Helen Ann Sullivan, James Riby Oram Trimming dan Luong Thi Thu Ha.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan