Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 kes COVID-19 di S'pura; ujian susulan penumpang di kapal persiaran sah negatif

Enam kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Rabu (9 Dis), kesemuanya merupakan jangkitan yang diimport.

Anggaran Waktu Membaca:
6 kes COVID-19 di S'pura; ujian susulan penumpang di kapal persiaran sah negatif

Para kakitangan di Pusat Pesiaran Marina Bay memakai alat perlindungan peribadi pada 9 Dis 2020 (Gambar: Jeremy Long/Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Dec 2020 11:25PM Dikemas Kini : 09 Dec 2020 11:29PM

SINGAPURA: Enam kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Rabu (9 Dis), kesemuanya merupakan jangkitan yang diimport.

Jumlah terbaru itu tidak termasuk seorang lelaki 83 tahun yang diuji positif COVID-19 semasa berada di atas kapal persiaran Royal Caribbean.

Sampel ujian asal lelaki itu diuji semula di Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) dan disahkan negatif bagi jangkitan COVID-19, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

"Sampel baru kedua yang diuji oleh NPHL juga kembali negatif. NPHL akan melakukan satu lagi ujian esok untuk mengesahkan status COVID-19 lelaki tersebut," tambah MOH.

Semua kontak rapatnya yang dikenal pasti sudah diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga, tambah kementerian itu lagi.

TIADA KES JANGKITAN TEMPATAN

Tiada kes baru dalam masyarakat dan di dormitori pekerja asing dilaporkan hari ini, menjadikannya hari keempat berturut-turut tanpa penularan tempatan.

Semua kes yang diimport dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di Singapura.

Mereka termasuk seorang lelaki Singapura berusia 64 tahun dan tiga pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia.

Dua kes lain adalah penduduk tetap Singapura yang tiba dari India. Salah seorangnya adalah budak berusia lapan tahun yang merupakan kontak kes terdahulu.

"Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat kekal rendah, dengan satu kes pada minggu lalu, yang dikaitkan dengan kes sebelumnya," kata MOH.

"Kami akan terus memantau perangkaan ini, dan juga kes yang dikesan melalui program pengawasan kami."

ENAM LAGI KES PULIH

Lagi enam kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih seramai 58,182, kata MOH.

Terdapat 20 kes yang masih berada di hospital. Kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada yang berada di unit rawatan rapi.

Terdapat 60 kes yang diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Mereka mempunyai gejala ringan, atau sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19.

Setakat Rabu, Singapura melaporkan 58,291 kes virus korona, dengan 29 kematian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan