Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 bayi dilahirkan dalam Grab, Gojek sejak 2 tahun lalu

Sejak dua tahun lalu, seramai enam bayi dilahirkan dalam kereta sewa Grab dan Gojek di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak dua tahun lalu, seramai enam bayi dilahirkan dalam kereta sewa Grab dan Gojek di Singapura.

Menurut Grab kepada kami, lima kes sedemikian dicatatkannya sejak Ogos 2017. Kes terkini bagi Grab berlaku tiga minggu lalu (7 Ogos), apabila bayi Melayu comel bernama Mia Ariella Adhwin'a Kamalrulnizam, dilahirkan di CTE Ang Mo Kio semasa dalam perjalanan ke hospital.

Gojek pula baru sahaja merekodkan kes sulung bersalin dalam kereta sewanya pada Jumaat lalu (23 Ogos).

Lantaran itu, Gojek hari ini (28 Ogos) mengumumkan ia akan menawarkan tip-tip dan latihan kepada para pemandunya bagi menangani kecemasan seperti pelanggan bersalin dalam kereta.

BAYI GOJEK - NELLYA ADORA

Satu keunikan dan persamaan di kalangan bayi-bayi yang dilahirkan dalam kereta sewa ialah catatan dalam surat beranak mereka.

(Gambar: Cik Nurisah Mohamed) 

Bagi Nellya Adora Muhammad Rafeeq, bayi yang lahir dalam kereta Gojek itu, tempat lahirnya bukan diletak sebagai 'Hospital'.

Sebaliknya ia tercatat sebagai "CTE, dalam perjalanan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK".

Sebenarnya kelahiran bayi Cik Nurisah Mohamed dan suaminya, Encik Muhammad Rafeeq Nijam Mohamed, bukan sahaja di luar jangkaan kerana ia seminggu lebih awal. Malah di tengah-tengah suasana panik itu, Cik Nurisah menyangka sudah 'kehilangan' bayinya.

Cik Nurisah sekeluarga. (Gambar: Cik Norhafizah Binte Nijam Mohamed)

"Anak yang pertama, semasa di hospital dia terus keluar. Oleh kerana dia menangis, saya tidak berasa takut. Bagaimanapun bagi anak saya yang kedua ini, dia tidak bergerak mahupun menangis.

"Takut dia tidak ada. Dan alhamdullilah dia bergerak dan dia menangis," cerita Cik Nurisah kepada BERITAmediacorp.

TIDAK SENTUH ANAK SEKALIPUN SEPANJANG PERJALANAN KE KKH

Beliau turut mendedahkan bahawa dari masa beliau bersalin sehingga sampai ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, beliau tidak memegang anaknya.

(Gambar: Cik Nurisah Mohamed) 

Sebaliknya, kakak iparnya, Cik Sharifah Farhana yang menggendong anaknya.

"Apabila saya menyambut anak sedara saya, ketika adik ipar saya bersalin, bayinya tidak menangis. Oleh kerana saya takut dan panik, saya tidak berbuat apa-apa," kongsi Cik Sharifah.

Manakala, ibu mertua Cik Nurisah, Cik Kamsiah Salleh tidak berhenti membacakan doa bagi kedua-dua si ibu dan cucunya itu.

Menurut Cik Nurisah, hanya apabila jururawat memotong tali pusat bayinya, barulah anaknya menangis.

"1-2-3 PUSH!" KATA PEMANDU GOJEK

Yang pasti, kongsi beliau, semuanya tidak akan berjalan dengan lancar tanpa bantuan pemandu Go-jek, Encik Leng Khee Kwong, yang sepanjang perjalanan memastikan bahawa beliau dapat melahirkan bayinya dengan selamat.

(Gambar: Cik Nurisah Mohamed) 

"Semasa perjalanan kami ke hospital Encik Leng menenangkan saya dan apabila kakak ipar saya cakap yang bayi dah nak keluar, dia nampak kepala dah dekat bawah. Baru Encik Leng kata '1-2-3 Push!'

"Dan saya memegang tangan kakak ipar saya dan pemegang kereta terus saya 'push'. Dah 'push' dua kali, baru bayi keluar dan Encik Leng memberitahu agar tidak perlu risau tentang keadaan keretanya," cerita Cik Nurisah lagi tentang kisah dalam kereta itu.

Beliau menambah bahawa beliau sebenarnya berasa amat bersalah kerana kereta Encik Leng berlumuran darah dan kotor. Sebaliknya, Encik Leng bersikap seperti biasa saja seakan-akan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Semasa ditanya BERITAmediacorp, Encik Leng dengan jujur berkongsi bahawa beliau sebenarnya cemas ketika itu kerana tidak pernah berhadapan dengan keadaan sebegitu.

Matlamat utama yang disematkan dalam mindanya ketika itu adalah untuk menghantar Cik Nurisah ke hospital dengan selamat.

"Dalam fikiran saya terutamanya, saya sangat cemas dan cuba menghantar mereka ke hospital secepat mungkin. Saya cuma teruskan memandu dengan menenangkan mereka," ujar Encik Leng.

Ditanya pula bagaimana beliau cuba mengekalkan ketenangannya dalam situasi sedemikian, Encik Leng menjawab beliau "cuba sahaja" kerana itulah satu-satunya yang perlu dilakukan - "kekal tenang".

GO-JEK BERI HABUAN ISTIMEWA KEPADA KELUARGA NELLY ADORA, PEMANDU GO-JEK

Mujur pada akhirnya segala-galanya berjalan dengan baik. 'Bayi Gojek' sihat. Semuanya boleh menguntum senyum selepas peristiwa mendebarkan itu.

Memandangkan Nellya Adora adalah bayi pertama dilahirkan dalam Gojek, syarikat kereta sewa itu hari ini (28 Ogos) membuat kejutan dengan menghulurkan Cik Nurisah suami isteri beberapa hadiah. Ini termasuklah baucar Gojek bernilai S$500, subsidi perubatan bernilai S$500 untuk Cik Nurisah, dan sebuah tempat duduk bayi untuk si comel itu.

Gojek juga menghulurkan beberapa hadiah yang lumayan untuk Encik Leng. Ini termasuklah cuti percuma bernilai S$2,500 untuk beliau sekeluarga, dermasiswa berjumlah S$1,000 untuk dua orang anaknya serta tokokan Medisave sebanyak S$500 untuk beliau.

Keluarga Cik Nurisah sekeluarga pula berasa amat terhutang budi dengan jasa baik Encik Leng. Bak pepatah Melayu, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan