Images
  • rlaf india
    (Gambar: RLAF)

6,000 penduduk, 19 kampung di tenggara India raih manfaat derma masyarakat Islam S'pura

SINGAPURA: Lebih 6,000 mangsa banjir yang melanda Tenggara India pada 2017, meraih manfaat secara langsung dari sumbangan dana masyarakat Islam Singapura, menurut Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dalam kenyataannya pada Jumaat (27 Sep).

Pada 2017, RLAF menjalankan pungutan derma bagi membantu para mangsa banjir di rantau Asia Selatan akibat hujan lebat dan monsun.

Hasil pungutan tersebut, RLAF bekerjasama dengan badan kemanusiaan Mercy Relief untuk menghulurkan bantuan segera dan jangka panjang.

Awal bulan ini, anggota Lembaga Amanah RLAF Naseer Ghani dan Pengarah Eksekutif RLAF Zainul Abidin Ibrahim menuju ke tapak-tapak projek di daerah Cuddalore, tenggara India untuk meninjau keadaan di sana setelah lebih setahun projek bantuan dilaksanakan.

Menurut RLAF, Mercy Relief bekerjasama dengan badan bantuan tempatan Kalvi Kendra untuk melakarkan projek jangka panjang yang dapat mengupayakan penduduk kampung bersiap sedia menangani dengan lebih baik bencana tahunan itu.

WANITA, BELIA PEMACU KEJAYAAN PROJEK

Tinjauan RLAF ke sana mendapati kaum wanita di Cuddalore adalah antara pemacu kejayaan projek jangka panjang pasca bencana. Di sana, kaum Hawa giat merekrut relawan, menjalankan program pendidikan menghadapi risiko bencana (CMDRR) dan merancang pelan tindakan DRR.


(Gambar: RLAF)

Wakil-wakil RLAF turut bertemu dengan para belia yang menyokong usaha Kalvi Kendra dalam melaksanakan program CMDRR. Antara lain, mereka menubuhkan pasukan penyelamat dan melaksanakan projek yang akan memudahkan perancangan dan pelaksanaan misi menyelamat apabila berlakunya bencana kelak.

"Kami dapati bantuan yang dihulurkan masyarakat Islam di Singapura bukan sahaja mengembalikan sedikit kehidupan biasa bagi penduduk di 19 kampung. Malah, ia merubah hidup mereka dan keluarga mereka dengan pelbagai cara positif," kata Encik Zainul menerusi kenyataan RLAF.

Dalam pada itu, RLAF turut merakam penghargaan kepada rakan kerjasama Mercy Relief dan Kalvi Kendra, dan para anggota masyarakat yang menyumbang lebih S$100,000 bagi tujuan tersebut.

Menurut yayasan itu lagi, usaha tersebut adalah lambang komitmen masyarakat Islam Singapura dalam menjadi masyarakat yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top