Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5G: Patutkah kita risau tentang sebarang risiko kesihatan?

Menjelang 2020, teknologi komunikasi tanpa wayar dengan kelajuan amat tinggi dan lebih diyakini akan dapat dimanfaatkan di Singapura dengan pelancaran rangkaian 5G.

Anggaran Waktu Membaca:
5G: Patutkah kita risau tentang sebarang risiko kesihatan?

(Gambar fail: Kai Pfaffenbach/Reuters)

Diterbitkan : 18 Jul 2019 01:55PM Dikemas Kini : 18 Jul 2019 01:57PM

SINGAPURA: Menjelang 2020, teknologi komunikasi tanpa wayar dengan kelajuan amat tinggi dan lebih diyakini akan dapat dimanfaatkan di Singapura dengan pelancaran rangkaian 5G.

Ia dipuji sebagai pengubah arus teknologi, dengan para penyokong berkata ia akan mengubah cara orang ramai menjalani kehidupan mereka selain mengupayakan pelbagai perkara, daripada kereta pandu sendiri hingga pembedahan jarak jauh.

Namun, seperti ciri-ciri perhubungan mudah alih lain, beberapa keprihatinan disuarakan mengenai risiko kesihatan berkaitan pendedahan frekuensi radio. Di Singapura, 24 daripada 62 maklum balas yang dikumpulkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menerusi rundingan awam adalah daripada mereka yang bimbang akan risiko kesihatan daripada rangkaian 5G.

IMDA, bagaimanapun, menyatakan tahap sekitaran radiasi frekuensi radio di Singapura adalah "sangat rendah" dan lazimnya di bawah garis panduan antarabangsa.

Pada Mei 2011, Agensi bagi Kajian Barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan klasifikasi medan elektromagnet frekuensi radio yang "mungkin boleh menyebabkan barah pada manusia" (Group 2B).

Perkara-perkara lain yang tergolong di bawah klasifikasi 'Group 2B' termasuk sayuran jeruk manakala daging diproses, tembakau rokok dan alkohol mempunyai klasifikasi lebih tinggi.

WHO membangunkan satu program untuk menilai kesan-kesan kesihatan daripada pendedahan kepada medan elektromagnet dari 0 hingga 300 GHz - jauh melebihi jalur frekuensi yang dirancang untuk rangkaian 5G (pada masa ini dirancang sekitar jalur 3.5GHz, 25 GHz dan 28 Ghz).

Menurut pertubuhan itu, semua penilaian yang dijalankan setakat ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada julat frekuensi tersebut tidak mengeluarkan sebarang kesan buruk kepada kesihatan. Namun, ia menambah, ada jurang dalam pengetahuan yang perlu dirapatkan sebelum "penilaian risiko kesihatan lebih baik dapat dijalankan".

Radiasi frekuensi radio dianggap sebagai "bukan pengionan" (non-ionising). Radiasi sebegini tidak menyebabkan barah dengan merosakkan DNA dalam sel seperti mana dilakukan radiasi pengionan X-ray dan sinar gamma.

(Gambar: AFP/Josep Lago) 

Khusus bagi 5G, para penyelidik menyatakan gelombang radio 5G tidak diserap oleh badan tetapi menembusi "hanya lapisan luar kulit", menurut Profesor Madya M Prakash Hande dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ia boleh menjangkau beberapa batu tetapi mudah disekat oleh objek, menurut Profesor Madya Hande. Maka itu, berbanding 4G, lebih banyak menara 5G perlu dibangunkan "untuk mencapai keberkesanan".

Had pendedahan bagi medan elektromagnet dibangunkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiasi Tanpa Pengionan (ICNIRP), sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang diiktiraf WHO.

Menurut pertubuhan itu, pendedahan kepada bahagian-bahagian "berfrekuensi tinggi" dari lingkungan elektromagnetik (yang ditakrifkan sebagai 100 kHz hingga 300 GHz) di atas nilai ambang arus udara panas tertentu - dengan mengambil kira tempoh pendedahan - boleh membawa kepada kesan kesihatan yang serius seperti strok haba dan kebakaran.

Walaubagaimanapun, kesan pendedahan akut dan jangka panjang di bawah nilai ambang arus udara panas, sudahpun dikaji secara meluas tanpa menunjukkan "apa-apa bukti kukuh tentang kesan buruk terhadap kesihatan," menurut pertubuhan tersebut.

Menurut IMDA, tahap radiasi frekuensi radio di Singapura adalah 'sangat rendah" dan lazimnya di bawah garis panduan 0.7 peratus yang ditetapkan ICNIRP.

Agensi itu menyatakan ia akan terus mematuhi garis panduan tersebut dengan pelancaran khidmat 5G itu nanti dan, bersama-sama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memantau perkembangan terkini serta berunding dengan pakar-pakar kesihatan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan