Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5G bawa cabaran kepada penguatkuasaan undang-undang S'pura: Pengarah sekolah jenayah

Meskipun orang ramai akan meraih manfaat daripada pelancaran rangkaian teknologi generasi kelima atau 5G, termasuk di Singapura, ia juga bakal membawa cabaran-cabaran baru bagi para pegawai penguatkuasaan undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
5G bawa cabaran kepada penguatkuasaan undang-undang S'pura: Pengarah sekolah jenayah

(Gambar fail: Kai Pfaffenbach/Reuters)

Diterbitkan : 04 Jul 2019 09:56AM Dikemas Kini : 04 Jul 2019 10:01AM

SINGAPURA: Meskipun orang ramai akan meraih manfaat daripada pelancaran rangkaian teknologi generasi kelima atau 5G, termasuk di Singapura, ia juga bakal membawa cabaran-cabaran baru bagi para pegawai penguatkuasaan undang-undang. Demikian kata Penolong Pesuruhhjaya Kanan (SAC) Polis Soh Kee Hean pada Rabu (3 Jul).

SAC Soh, yang juga pengarah Sekolah Siasatan Jenayah Home Team, berkata rangkaian mudah alih generasi masa depan membawa "lambakan dan kelajuan" yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk para pengguna.

Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Soh Kee Hean yang sudah berkhidmat dalam pasukan tersebut buat 30 tahun.

SAC Soh.

Namun polis veteran itu berkata, inovasi sama yang memacu manfaat 5G juga boleh disalahgunakan oleh para penjenayah siber bagi kegiatan-kegiatan haram mereka.

Para penjenyah siber boleh, misalnya, melancarkan serangan pembatalan khidmat atau DDOS serta memuat turun kandungan hasad lebih cepat ke dalam komputer-komputer yang tidak menimbulkan kecurigaan. SAC Soh menjelaskan perkara itu semasa diwawancara CNA di luar acara Interpol Dunia 2019.

Beliau menambah ia juga akan menjadi lebih mudah bagi mereka untuk menghilangkan jumlah besar data yang dicuri dan melenyapkan jejak digital mereka semasa berbuat demikian.

"5G akan membawa kebaikan tetapi juga membolehkan unsur-unsur jenayah menyalahgunakan (sistem itu)," kata SAC Soh.

Beliau menggesa para penguatkuasa undang-undang supaya "proaktif" dalam pendekatan mereka serta mengkaji semula dasar-dasar dan undang-undang sedia ada untuk meneliti sama ada ia sesuai bagi sesuatu tujuan atau perlu dikemas kini.

Pengarah itu juga menyelia bagaimana para pegawai siasatan dan forensik di Pasukan Polis Singapura (SPF) dilatih. Dalam tempoh singkat tiga tahun sejak beliau menyandang jawatan tersebut pada 2016, SAC Soh berkata beliau mendapati "banyak perbezaan" dalam cara bagaimana para pegawai dilatih.

TEKNOLOGI TINGKATKAN PERMINTAAN UNTUK LATIHAN

Hakikatnya, jumlah kursus latihan kian meningkat.

SAC Soh berkata jumlah itu meningkat kepada dua kali ganda daripada sekitar 50 pada 2015 kepada kira-kira 100 pada 2018 dan peningkatan tersebut adalah untuk menepati keperluan para pegawai seperti dalam bidang siasatan jenayah-jenayah siber dan kolar putih dan memahami topik-topik baru, misalnya analisis data.

Jenayah online semakin menimbulkan keprihatinan di Singapura. Menurut statistik jenayah tahunan terkini yang dikeluarkan oleh SPF, jumlah jenayah yang dilaporkan naik 1.4 peratus pada 2018 kepada 33,134 kes berbanding 32,668 pada tahun sebelumnya. Ia menyatakan peningkatan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kes-kes penipuan yang bertambah sebanyak 20.6 peratus daripada 4,805 kepada 5,796 kes bagi tempoh yang sama.

"Sifat jenayah yang sudah berubah bererti permintaan (untuk latihan) sentiasa ada," ujar SAC Soh.

Contohnya, satu kursus latihan memberi tumpuan kepada apa yang harus dilakukan para pegawai barisan hadapan dengan sebuah komputer yang disyaki telah digunakan untuk melakukan jenayah.

Beliau menambah bidang-bidang latihan asas lain untuk meningkatkan tahap kecekapan ahli penyiasatan secara keseluruhan dalam pasukan polis termasuk bagaimana untuk menjejaki akaun media sosial dan mendapatkan bahan bukti daripada e-mel.

Bagi kemahiran lebih khusus untuk menangani bidang baru seperti 'deepfakes' (teknik sintesis gambar manusia menggunakan kecerdasan buatan) - dan 'Internet of Things' (IoT), sekolah tersebut akan bekerjasama dengan rakan-rakan luar negara serta para pemain industri supaya pegawai-pegawai di Singapura boleh mempelajari daripada amalan terbaik dan mendapatkan panduan.

Menurut SAC Soh, program-program latihan ini dibangunkan dengan kerjasama rapat Jabatan Siasatan Jenayah (CID) serta Jabatan Ehwal Komersil (CAD).

Pada Selasa (2 Jul), Menterti Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo dalam ucapannya berkata semasa satu acara Interpol bahawa "bidang forensik mesti melaksanakan anjakan besar ke dalam bidang digital".  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan