Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

597 kes tempatan COVID-19 di S'pura; kelompok baru di rumah jagaan Ren Ci Bukit Batok

Sebanyak 597 kes tempatan baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin (13 Sep), yang mana 534 adalah jangkitan dalam masyarakat dan 63 melibatkan penghuni dormitori.

Anggaran Waktu Membaca:
597 kes tempatan COVID-19 di S'pura; kelompok baru di rumah jagaan Ren Ci Bukit Batok

Gambar fail Ren Ci @ Bukit Batok. (Gambar: Ren Ci)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 12:10AM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 12:11AM

SINGAPURA: Sebanyak 597 kes tempatan baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Isnin (13 Sep), yang mana 534 adalah jangkitan dalam masyarakat dan 63 melibatkan penghuni dormitori.

Dalam kalangan kes tempatan baru itu, 157 adalah warga emas yang berusia lebih 60 tahun, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Satu kelompok baru COVID-19 dengan sebanyak 28 kes dikesan di rumah penjagaan Ren Ci di Bukit Batok, terdiri daripada 20 penghuni dan lapan kakitangan.

"Semua kakitangan dan penghuni lain yang berada di tingkat yang terjejas sudah diuji dan keputusannya sejauh ini adalah negatif," menurut MOH, sambil menambah bahawa penghuni dan kakitangan lain di rumah jagaan itu juga akan diuji.

Satu lagi kelompok baru turut dikesan di dormitori Avery Lodge yang kini mempunyai 58 kes.

MOH menyatakan penularan dalam dormitori secara berterusan di kalangan penghuni dikesan melalui "ujian proaktif".

Kesemua penghuni dormitori juga dikenakan perintah sekatan pergerakan.

Terdapat 10 kes import dilaporkan pada Isnin, menjadikan keseluruhan jumlah kes dilaporkan hari ini sebanyak 607.

Empat kes import dikesan pada ketibaan di Singapura manakala lagi enam jatuh sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

KELOMPOK SEDIA ADA

Sebanyak 16 kelompok aktif sedang dipantau, menurut MOH.

Kelompok di Pusat Rantaian Bekalan Serantau DHL, bertambah 10 lagi kes menjadikan 41 kes.

21 kes baru berhubung kait dengan kelompok Chinatown Complex, yang kini mempunyai 105 kes keseluruhannya.

Lagi 16 kes ditambah kepada kelompok di tapak binaan di 30 Sunview Way, menjadikannya kini 156 kes.

PESAKIT DI HOSPITAL

Sebanyak 774 pesakit dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pengawasan, menurut MOH.

Daripada jumlah itu, 57 adalah penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen dan lapan berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

51 daripada mereka yang menghidap jangkitan teruk merupakan warga emas yang berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, peratusan kes tempatan yang tidak mengalami simptom atau mempunyai gejala ringan adalah 98.2 peratus.

Dalam kalangan 94 kes yang memerlukan bantuan oksigen, 48 belum menerima vaksin lengkap manakala 46 sudah divaksin sepenuhnya.

Empat daripada enam kes yang berada di ICU belum menerima dos lengkap vaksin COVID-19. Tidak seorangpun daripada empat kes kematian sudah mendapatkan suntikan vaksin penuh.

KADAR VAKSINASI

Setakat Ahad (12 Sep), 81 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejim vaksinasi sepenuhnya atau menerima dua dos vaksin COVID-19, manakala 84 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Lebih 8.86 juta dos vaksin diberikan di bawah program vaksinasi nasional, merangkumi sekitar 4.56 juta penduduk di mana sekitar 4.43 juta sudah selesai menjalani rejimen penuh.

Lagi 176,860 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberikan, meliputi 86,614 orang.

Setakat Isnin, Singapura melaporkan 72,294 kes COVID-19 dan 58 kematian.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan