Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

550 ekor kucing serikan Pesta Kucing Singapura pertama Singapura

Tidak melupakan kucing-kucing yang tidak bertuan, Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) menjalankan gerakan pengambilan 40 ekor kucing. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ini bukan 'dua, tiga kucing berlari' seperti pepatah yang biasa kita dengar. Tetapi lebih tepat lagi, ini lebih 550 kucing 'berlari'! Berlari dalam erti kata hadir 'menyerikan' di Pesta Kucing Singapura yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Selain menyediakan segala keperluan kucing di bawah satu bumbung, Pesta dua hari itu yang berakhir hari ini (15 Jul), juga diharap dapat menjadi sebuah platform di mana kesedaran tentang kebajikan kucing-kucing di Singapura boleh dipupuk.

5,000 ORANG KUNJUNGI PESTA

Jika anda ke pertunjukan kucing itu, anda pasti dapat melihat wajah-wajah comel pelbagai jenis kucing yang menarik perhatian anda.

Yang pasti, ini mungkin kehadiran paling banyak kucing di satu-satu tapak di Singapura kerana ada 550 kucing dibawa ke sini - sama ada oleh pihak penganjur ataupun para pengunjung sendiri.

Antara kucing-kucing yang dibawa pengunjung Pesta Kucing Singapura. (Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: Izzah Hafsah Saiful Imran)

Maka tidak hairanlah begitu ramai peminat kucing yang 'cuci mata' di pameran ini.

Pihak penganjur memberitahu BERITAMediacorp, sekurang-kurangnya 5,000 pemilik dan pencinta kucing membanjiri ruang acara. Sambutan positif itu jauh melampaui jangkaan penganjur berkenaan, Furflr Pte Ltd.

Dari keperluan penjagaan kucing, kepada bazar seni dan kraftangan, acara itu meraikan cinta untuk kucing dengan sepenuhnya.

GERAKAN 'RUMAHKAN' 40 EKOR KUCING

Malah, sebuah sesi perjumpaan peminat Cats of Instagram Singapura turut diadakan.

(Gambar: Izzah Hafsah Saiful Imran)

Ini termasuklah pasangan suami isteri Encik Armen Rizal dan Cik Siti Zafirah, yang memiliki lima ekor kucing dan diikuti lebih daripada 600 peminat di Instagram.

"Kita pun berikan maklumat, kita berikan sedikit sebanyak pendapat kami mengenai kucing, bagaimana hendak menjaganya dengan cara yang terbaik dan sebagainya," kata Encik Armen Rizal Rahman, seorang ahli Cats of Instagram Singapura.

Tidak melupakan kucing-kucing yang tidak bertuan, Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) menjalankan gerakan pengambilan 40 ekor kucing.

Kali ini, kucing-kucing jenis tempatan ditampilkan.

(Gambar: Izzah Hafsah Saiful Imran)

"Kami ingin mempamerkan kucing-kucing tempatan, kucing-kucing masyarakat, yang telah diselamatkan daripada situasi yang kurang baik dan mempamerkan betapa cantik, menarik dan comelnya mereka," kata Cik Fareena Mehr Omar, seorang ahli Lembaga Persatuan Kebajikan Kucing.

Terdorong dengan sokongan yang diterima, Furflr berharap menjadikan pesta ini sebagai acara tahunan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan