Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 usahawan wanita bakal dibantu Pejabat Program Perniagaan Mikro Dewi@DPPMS

50 usahawan wanita akan dibantu di bawah tahap permulaan Pejabat Program Perniagaan Mikro yang akan dilancarkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 50 usahawan wanita akan dibantu di bawah tahap permulaan Pejabat Program Perniagaan Mikro yang akan dilancarkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) tahun ini.

Program kerjasama cabang wanita DPPMS iaitu Dewi@DPPMS dengan AMP dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) itu bagi membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peniaga di rumah dan peniaga mikro yang mempunyai aspirasi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Usaha ke arah itu mendapat rangsangan pada Rabu (24 Mac) menerusi sidang online mempersiapkan perniagaan pasca COVID-19.

PESERTA SIDANG DEWIDIGI TIMBA PENGETAHUAN PERNIAGAAN

Sidang maya bertemakan 'Merubah Secara Digital dalam Era Pasca Pandemik' yang pertama seumpamanya dianjurkan Dewi@DPPMS menarik perhatian tentang pentingnya perniagaan mendakap pendigitalan bagi kekal mampan dan berkembang.

Dihadiri lebih 100 peserta, mereka berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai teknik-teknik untuk mengembangkan perniagaan mereka daripada barisan panel usahawan wanita.

Mereka termasuk Diyana Halik (Pengasas Diyana Halik), Jumaiyah M. (Pengasas Bersama HalalFoodHunt), Huda Hamid (Pengasas Frempreneur Secrets) dan banyak lagi.

Tajuk yang disentuh pula mengenai pentingnya pemasaran digital bagi perniagaan, kaedah bayaran digital dan jenama online.
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamed menekankan pentingnya perniagaan berinovasi dan mendakap pendigitalan dalam pasaran dan pemasaran berasaskan elektronik.

Hal itu lebih penting lagi bagi peniaga di rumah dan peniaga mikro khususnya kata beliau untuk bangkit lebih kukuh dalam dunia pasca COVID-19.

Encik Zaqy berkata: "Pada hari ini ramai di antara mereka berniaga dan melihat perniagaan mereka berkembang walaupun kita sedang menjalani situasi COVID-19. Ini adalah kerana ramai di antara mereka bertukar arah untuk menggunakan teknologi digital untuk membina usaha-usaha mereka."

"Bagi usahawan wanita kita, kita juga melihat peluang kerana ramai di antara mereka juga dapat menggunakan kaedah digital dan juga membuat perniagaan di rumah. Di sini saya rasa pada tahun-tahun lalu, kita melihat lebih ramai orang yang dapat meraih peluang untuk menjalankan beberapa usaha," tambah Encik Zaqy.

Naib Presiden DPPMS merangkap Pengerusi Dewi@DPPMS Fadilah Majid berkata:"
Kami akan membantu perniagaan dari rumah (HBB) yang ramainya terdiri daripada wanita. Mereka akan dibantu untuk membaiki pemasaran, bagaimana untuk menggunakan operasi digital dan bagaimana mereka dapat berkembang meningkatkan penjualan daripada sekadar HBB untuk membantu mereka membuka kedai sendiri."

Bantuan dimaksudkannya itu sebahagiannya sedang diusahakan Pejabat Program Perniagaan Mikro yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Program itu juga akan menyediakan kemudahan latihan bagi membantu golongan tersebut terus berdaya tahan dan mengembangkan perniagaan mereka di dalam mahupun ke luar negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan