Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 penunggang e-skuter luah kekecewaan berhubung larangan di sesi bertemu penduduk

Sekitar 50 penunggang e-skuter berkumpul di sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Ang Mo Kio pada Rabu (6 Nov) untuk menyuarakan kekecewaan mereka berhubung larangan yang diumumkan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
50 penunggang e-skuter luah kekecewaan berhubung larangan di sesi bertemu penduduk

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 07 Nov 2019 09:42AM Dikemas Kini : 07 Nov 2019 09:44AM

SINGAPURA: Sekitar 50 penunggang e-skuter berkumpul di sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Ang Mo Kio pada Rabu (6 Nov) untuk menyuarakan kekecewaan mereka berhubung larangan yang diumumkan baru-baru ini.

Para penunggang itu, ramai daripadanya memakai seragam khidmat penghantar makanan GrabFood, berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang mengendalikan kawasan Teck Ghee.

Beberapa orang mula tiba pada pukul 6 petang meskipun MPS di Ang Mo Kio Avenue 3 dijadual bermula pada pukul 8 malam.

Ramai yang tiba dengan menaiki e-skuter yang diletakkan di laluan penghubung dan kolong blok berhampiran.

Seorang wakil kumpulan penunggang bertemu dengan seorang sukarelawan MPS, manakala seorang lagi penunggang menemui penasihat akar umbi kawasan itu, Dr S Vasoo.

Pada kira-kira pukul 9 malam, hanya lima penunggang e-skuter masih berada di tempat berkenaan.

Seorang penunggang e-skuter memberitahu Mediacorp beliau tidak dapat menjalankan tugasnya akibat larangan itu.

"Kebanyakan (orang) di sini, mereka perlu menyara perbelanjaan anak-anak, buat bayaran ansuran, bayaran rumah. Sebahagian daripada mereka malah tidak ada rumah, mereka perlu sewa," kata pekerja khidmat penghantaran, Dana.

"Anda tiba-tiba beritahu kami pada satu hari, esoknya kami tidak boleh bekerja. Bagaimana kami hendak bayar semua ansuran ini, bagaimana kami akan menanggung semua perbelanjaan? Ia mustahil, secara fizikal betul-betul mustahil," tambahnya lagi.

Cik Kelly Lee, seorang lagi pekerja khidmat penghantaran juga berkata beliau berharap Pemerintah akan membantu para penunggang dalam mengatasi masalah mereka.

"Kami berharap Pemerintah boleh membantu, lakukan sesuatu untuk kami. Kami perlukan kerja ini.

"Benarkan kami menunggang e-skuter jika kami mengikut peraturan... Bagaimana nak mencari pekerjaan? Hari ini anda kata ia dilarang, esoknya ia berkuatkuasa. Bolehkah saya mencari pekerjaan dengan serta merta? Berapa ramai yang boleh dapatkan pekerjaan?

"Sekurang-kurangnya berikan kami pilihan seperti memberi lesen kepada para pekerja khidmat penghantaran yang memakai seragam dan menggunakan e-skuter sah, untuk menggunakan laluan awam," luah Cik Lee.

Penggunaan e-skuter kini diharamkan di laluan pejalan kaki, dan para pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 dan hukuman penjara sehingga tiga bulan sebaik sahaja larangan itu dikuatkuasakan secara ketat pada 2020.

Penggunaan e-skuter terus dilarang di jalan raya meskipun penggunaan alat tersebut dibenarkan di laluan berbasikal dan rangkaian penghubung taman.

Tempoh nasihat sehingga 31 Disember dilaksanakan, dengan para pengguna e-skuter yang melanggar peraturan akan diberi amaran bagi membolehkan para penunggang menyesuaikan diri kepada peraturan baru.

Pada Rabu, Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam - yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi GRC Nee Soon, bertemu dengan 30 penunggang alat mobiliti peribadi yang datang bertemunya semasa sesi bertemu penduduk di Yishun.

"Mereka menjelaskan kedudukan, kesukaran mereka," kata Encik Shanmugam dalam catatan Facebooknya, sambil menambah meskipun beliau "memahami keadaan mereka", mereka perlu mengutarakan pendapat mereka kepada Kementerian Pengangkutan dan kepada Kabinet.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan