Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 individu disiasat langgar peraturan COVID-19 di pusat hiburan haram berkonsep KTV

Seramai 50 individu sedang disiasat kerana dipercayai melanggar peraturan-peraturan COVID-19 di beberapa cawangan "berkonsep KTV" tidak berlesen, menurut polis pada Selasa (3 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
50 individu disiasat langgar peraturan COVID-19 di pusat hiburan haram berkonsep KTV

Sebuah tempat hiburan tidak berlesen di Geylang Lorong 13. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 10:55PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 11:02PM

SINGAPURA: Seramai 50 individu sedang disiasat kerana dipercayai melanggar peraturan-peraturan COVID-19 di beberapa cawangan "berkonsep KTV" tidak berlesen, menurut polis pada Selasa (3 Ogos).

Siasatan itu dijalankan menyusuli operasi penguatkuasaan polis ke atas 78 pusat hiburan awam dan 76 rumah urut sepanjang minggu lalu.

Sewaktu operasi itu, polis menyerbu "cawangan-cawangan berkonsep KTV" di lima lokasi di North Bridge Road, Outram Road, Kallang Avenue, Ubi Road 1 dan Geylang Lorong 13.

Sebuah cawangan hiburan tidak berlesen di Kallang Avenue. (Gambar: SPF)

Empat lelaki, berusia antara 24 dengan 46 tahun juga sedang disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan berhubung hiburan awam dan kawalan minuman keras. Mereka disyaki menguruskan cawangan-cawangan hiburan awam tanpa lesen, dedah polis.

RUMAH URUT

Selain itu, 15 rumah urut disyaki melanggar beberapa peraturan COVID-19 dan melakukan kesalahan di bawah Akta Rumah Urut.

Di dua rumah urut, para pegawai menemui tukang urut dan pelanggan yang dipercayai tidak memakai pelitup ketika sedang menyediakan khidmat urut, tambah polis.

Perintah tutup selama 10 hari dan denda S$1,000 juga akan dikenakan ke atas kedua-dua perniagaan itu manakala para pelanggan akan didenda S$300 setiap seorang kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.

Siasatan polis terhadap 34 individu termasuk pengendali rumah urut, tukang urut dan pelanggan juga sedang dijalankan.

"Polis mengambil tindakan penguatkuasaan dengan kerap ke atas rumah-rumah urut dan KTV tidak berlesen untuk membanteras kegiatan maksiat dan haram," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.

Sebuah tempat hiburan tidak berlesen di Ubi Road 1. (Gambar: SPF)

SPF menasihatkan orang ramai dan para peniaga supaya memandang serius terhadap langkah-langkah pengurusan selamat.

Di bawah Akta Rumah Urut, sesiapa yang didapati bersalah kerana menyediakan khidmat urut di rumah urut tidak berlesen boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Atas kesalahan melanggar undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh didenda sehingga S$5,000. Denda akan dinaikkan lagi bagi pesalah berulang.

Mereka yang gagal mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat boleh dijel sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Membekalkan minuman keras atau menawarkan hiburan awam tanpa lesen yang sah membawa hukuman denda sehingga S$20,000 bagi setiap kesalahan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan