Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 belia berbilang agama, institusi pengajian tinggi sumbang tenaga kuatkan semangat pekerja asing, pembantu rumah harungi pandemik

Sekitar 50 belia dari berbilang agama dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan mengikrarkan komitmen untuk mengukuhkan perpaduan sosial dan menunjukkan belas ihsan kepada para pekerja asing yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 50 belia dari berbilang agama dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan mengikrarkan komitmen untuk mengukuhkan perpaduan sosial dan menunjukkan belas ihsan kepada para pekerja asing yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Acara yang diberi nama “Friendship Meal: Pledge a Poet” itu adalah hasil kerjasama antara Pusat Harmoni dan Gereja Zion Bishan Bible-Presbyterian.

Acara itu sempena sambutan Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia yang diadakan di Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah semalam (20 Feb).

Ia juga bermatlamat untuk menaikkan semangat para pekerja asing yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19 sedang mereka mencari rezeki di sini untuk menyara kehidupan keluarga dan orang tersayang di negara asal mereka.

Para peserta mengutuskan kata-kata perangsang kepada para pekerja asing itu menerusi catatan-catatan buku nota yang kemudian disampaikan kepada kumpulan kesusasteraan Migrant Writers of Singapore (MWS).

Penolong Ketua Pusat Harmoni Liyana Rosli Asmara menjelaskan, MWS adalah sebuah kumpulan yang menyokong para pekerja asing dan pembantu rumah yang berminat untuk mempertingkatkan kemahiran menulis dan memperhalusi penulisan mereka dalam bidang kesusasteraan melalui ceramah dan bengkel penulisan.

Matlamat Kempen “Pledge a Poet” adalah untuk menyatukan pelbagai masyarakat berbilang agama di sini dan menyokong emosi dan kesihatan mental para pekerja asing dengan menggalak mereka untuk menghasilkan karya-karya seperti cerpen dan sajak.

Ia juga bagi menyediakan wadah untuk para pekerja asing mengharungi masa yang sukar ini menerusi sokongan kesihatan mental dan emosi.

“Pandemik ini mengajar kita bahawa kesihatan mental amat penting bagi semua orang baik rakyat tempatan mahupun pekerja asing,” kata Zakir Hossain Khokan, pengasas kumpulan MWS, yang menyifatkan penulisan sebagai “penawar” bagi kesihatan mental.

“Ketika para pekerja asing terkurung di dormitori atau pembantu rumah terperap di rumah majikan mereka, kami mengagihkan buku-buku secara percuma. Kami mendapat maklum balas bahawa ia berguna buat mereka.

"Lantaran itu, membaca dan menghasilkan karya-karya seperti ini menjadi 'ubat yang mujarab' bagi kesihatan mental,” ujar Encik Zakir.

Hasil kerjasama Pusat Harmoni dengan para penuntut Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU), sejumlah 165 pesanan dan buku nota berjaya dikumpulkan untuk diagihkan kepada para pekerja asing untuk meluahkan perasaan dan curahan hati mereka.

Di samping menggalak para pekerja asing untuk berkarya, para peserta Pledge a Poet juga akur betapa pentingnya usaha memupuk persefahaman silang agama, lebih-lebih lagi menyusuli laporan-laporan kebelakangan ini mengenai sebilangan penduduk Singapura yang menjadi radikal.

Di tengah-tengah cabaran sedemikian, Cik Liyana melahirkan harapan agar Pusat Harmoni berupaya menyediakan ruang untuk menyalurkan tenaga para peserta muda ini ke arah kebaikan.

Sentimen itu turut dikongsi Encik Ow Yeong Wai Kit, peserta Pledge a Poet yang mewakili Kuil Poh Ming Tse.

“Lebih-lebih lagi di tengah-tengah (pandemik) COVID-19, saya fikir adalah penting untuk terus membina jambatan dan mengadakan dialog silang agama dalam kalangan pemimpin belia dan antara generasi yang berbeza,” usul Encik Ow Yeong.

“Apabila kita memberikan sesuatu kepada masyarakat pekerja asing, usaha muhibah ini mungkin kecil tetapi ia menunjukkan bahawa rakyat Singapura mampu bekerjasama demi kebaikan bersama”.

Inisiatif “Pledge a Poet” yang sudah disertai Pusat Harmoni sejak 2016 berjaya mendampingi lebih 500 individu menerusi ceramah-ceramah dan program-program bagi mengukuhkan rangkaian sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan