Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50,000 pekerja rakyat S’pura digajikan dalam bulan pertama Insentif Pertumbuhan Pekerjaan

Lebih 50,000 pekerja rakyat tempatan diambil bekerja di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan pada September 2020, sebulan selepas ia dilancarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jan 2021 01:08PM Dikemas Kini : 23 Jan 2021 10:09PM

SINGAPURA: Lebih 50,000 pekerja rakyat tempatan diambil bekerja di bawah Insentif Pertumbuhan Pekerjaan pada September 2020, sebulan selepas ia dilancarkan.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (23 Jan) dalam edisi ke-17 Laporan Situasi Pekerjaan.

Skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan itu adalah skim subsidi yang diperkenalkan pada Ogos dan bermatlamat untuk menggalak firma-firma supaya menggajikan lebih ramai pekerja rakyat tempatan sebagai respons kepada kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19.

Menurut unjuran awal MOM, sekitar separuh daripada 50,000 pekerja rakyat tempatan itu berusia antara 40 tahun ke atas.

Sektor yang paling banyak menggajikan pekerja adalah sektor khidmat makanan (7,700 pekerja tempatan), perdagangan borong (4,600), khidmat profesional (4,000), binaan (3,300) dan pendidikan (3,000).

Sekitar 14,000 syarikat sudah memanfaatkan skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan yang akan berakhir pada bulan depan.

Di bawah program bernilai S$1 bilion itu, Pemerintah menampung antara 25 dengan 50 peratus daripada S$5,000 pertama gaji bulanan kasar pekerja tempatan selama 12 bulan.

Syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja berusia 40 tahun ke atas, golongan kurang upaya dan bekas pesalah pula menerima rebat gaji 50 peratus bagi setiap pekerja, manakala majikan yang menggajikan pekerja lain pula akan menerima rebat 25 peratus.

Para pekerja baru mesti mendapat gaji sekurang-kurangnya S$1,400 sebulan.

Bercakap kepada media semalam (21 Jan) mengenai laporan terkini itu, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata Pemerintah masih memikirkan sama ada untuk melanjutkan tempoh skim tersebut memandangkan pasaran buruh masih tidak menentu.

"Meskipun tanda-tanda dari bulan November menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, di mana kadar pengangguran berkurangan tetapi ia masih belum merosot ke paras sebelum pandemik," kata beliau.

"Dan, saya rasa penting untuk kita ingat bahawa ia setakat satu data saja."

Insentif Pertumbuhan Pekerjaan, tambah beliau, diperkenalkan dengan mengambil kira pemulihan ekonomi yang tidak rata sedang beberapa sektor terus berkembang semasa pandemik manakala ada juga yang berdepan dengan cabaran.

Pemerintah berharap skim itu akan menggalak firma-firma yang berkembang maju untuk mula menggajikan pekerja dan bukan menunggu sehingga keadaan pulih.

"Saya tidak dapat mengatakan bahawa Insentif Pertumbuhan Pekerjaan ini akan diteruskan. Jadi jika anda mempunyai calon pekerja yang baik, jangan teragak-agak (untuk menggajikannya)," kata Cik Teo.

KERJA KOSONG DALAM INDUSTRI F&B

Secara berasingan, MOM memberikan kemas kini mengenai jumlah pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor khidmat makanan.

Setakat sehingga hujung tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya 9,200 kerja kosong yang ditawarkan menerusi portal MyCareersFuture; 37 peratus daripadanya adalah bagi para karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Misalnya, jawatan kolar putih termasuk pengurus penjualan, pemasaran dan pembangunan perniagaan, di mana gaji bulanannya adalah antara S$3,000 dengan S$6,500. Pengurus khidmat makanan dan minuman pula gajinya antara S$2,600 dengan S$3,250.

Pekerja kolar biru termasuk tukang masak yang gajinya antara S$2,250 dengan S$3,000 dan pelayan pula bergaji antara S$1,600 dengan S$2,000 sebulan.

Menurut MOM, pekerjaan-pekerjaan itu boleh menawarkan aturan kerja fleksibel dan sesuai untuk pekerja lebih tua, pelajar yang mahu bekerja sambilan serta yang menjaga anggota keluarga dan memerlukan waktu kerja yang boleh mengikut jadual mereka. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan