Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 perkara yang perlu anda tahu tentang cukai karbon

Cukai itu juga akan menjejas 30 hingga 40 pengeluar, yang menghasilkan sebanyak 25,000 atau lebih tan gas rumah hijau setahun.

Anggaran Waktu Membaca:
5 perkara yang perlu anda tahu tentang cukai karbon

Gambar fail prasarana di Jurong Island. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Feb 2018 09:05AM Dikemas Kini : 16 Feb 2018 09:11AM

SINGAPURA: Bermula tahun depan, Pemerintah akan mengenakan cukai karbon untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sebagai sebahagian daripada komitmennya di bawah perjanjian iklim Paris.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata dalam pembentangan Belanjawan tahun lalu bahawa cukai itu akan menjadi “isyarat harga” untuk mendorong industri-industri supaya mengurangkan pengeluaran.

Ia juga akan mewujudkan “peluang-peluang baru” dalam industri yang menggunakan sumber-sumber semula jadi seperti tenaga yang boleh diperbaharui, tambah beliau, sambil menekankan pendapatan daripada cukai itu akan membantu membiayai langkah-langkah industri untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Cukai itu juga akan menjejas 30 hingga 40 pengeluar, yang menghasilkan sebanyak 25,000 atau lebih tan gas rumah hijau setahun.

Pemerintah sedang menimbangkan untuk mengenakan caj antara S$10 dengan S$20 bagi setiap tan gas rumah hijau yang dikeluarkan.

Harga cukai yang sudah dimuktamadkan akan diumumkan dalam Rang Undang-Undang Penetapan Harga Cukai Karbon, yang akan diperkenalkan pada suku pertama tahun ini.

Sementara cukai tersebut tidak menjejas keluarga-keluarga secara langsung, Encik Heng menjangkakan terdapat kesan tempias “sederhana” ke atas para pengguna. Tujuannya adalah supaya para penyedia bekalan tenaga turut mengenakan kos cukai karbon itu ke atas mereka, menurut para pakar.

Sekretariat Perubahan Iklim Nasional menyatakan bagi purata keluarga yang menetap di flat empat bilik, cukai itu bermakna kenaikan antara S$1.70 hingga S$3.30 sebulan pada tarif elektrik mereka.

Maka, berikut adalah lima perkara yang perlu anda tahu tentang bagaimana cukai karbon dikenakan:

1) PIHAK PENGELUAR MESTI SERAH LAPORAN PENGELUARAN GAS

Rang undang-undang itu menyatakan para pengeluar yang mengeluarkan lebih 2,000 tan namun masih di bawah 25,000 tan gas rumah hijau setahun mesti terus menyerahkan laporan pengeluaran, seiring dengan Akta Pemuliharaan Tenaga.

“Pengeluar yang boleh dikenakan cukai”, yang mengeluarkan lebih 25,000 tan gas rumah hijau setahun pula mesti menyerahkan laporan pengeluaran yang disahkan oleh pihak bebas ketiga dan berdasarkan perancangan pemantauan.

Sebaik saja cukai karbon dikuatkuasakan pada tahun depan, para pengeluar mesti memantau pengeluaran gas rumah hijau mereka selama setahun sebelum menyerahkan laporan pengeluaran menjelang 30 Jun 2020.

Laporan pengeluaran mesti diserahkan menjelang 30 Jun setiap tahun.

2) MESTI BANGUNKAN PERANCANGAN PEMANTAUAN

Perancangan pemantauan itu mesti menyatakan bagaimana para pengeluar memastikan mutu data yang diperlukan untuk membuat kiraan dalam laporan pengeluaran. Jika perlu, perancangan tersebut juga mesti disahkan oleh pihak bebas ketiga.

Perancangan pemantauan itu mesti diserahkan menjelang 31 Disember setiap tahun.

3) MESTI PERBETUL MAKLUMAT TIDAK TEPAT DALAM LAPORAN, PERANCANGAN

Jika pihak berkuasa mendapati laporan pengeluaran atau perancangan pemantauan tidak tepat atau tidak lengkap, ia akan mengarahkan pengeluar supaya memperbetul dokumen dan menyerahkannya sekali lagi.

Jika pengeluar mengesan maklumat yang tidak tepat, ia mesti memaklumkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin. Ia juga mesti menjelaskan keadaan-keadaan yang menyebabkan kesilapan tersebut dan bagaimana ia akan diperbetul.

Jika boleh, ia perlu memberikan anggaran bagi kesilapan jumlah gas rumah hijau.

Mereka yang secara sengaja menyerahkan maklumat tidak tepat untuk mengelak dikenakan cukai boleh didenda tiga kali ganda jumlah yang cuba dielak, selain dikenakan denda tidak melebihi S$10,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga tahun.

4) BAYAR CUKAI DALAM BENTUK KREDIT

“Para pengeluar yang boleh dikenakan cukai” boleh membeli kredit karbon daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada harga tetap sepanjang tahun.

Pada hujung tahun penilaian, kredit-kredit itu digunakan untuk membayar cukai yang dikenakan ke atas jumlah keseluruhan pengeluaran gas rumah hijau.

Harga kredit itu akan ditetapkan hampir pada tarikh penguatkuasaannya nanti.

Sistem tersebut memberikan kelonggaran kepada pihak berkuasa untuk menggunakan cara lain jika perlu, seperti menghubungkan rangka kerja penetapan harga karbon Singapura kepada bidang kuasa yang lebih luas.

Cukai-cukai itu pula mesti dibayar menjelang 30 September setiap tahun. Mereka yang gagal membayar cukai karbon boleh dikenakan denda tiga kali ganda jumlah cukai yang tertunggak. Cukai karbon yang pertama dijangka dibayar pada tahun 2020.

5) PENGELUAR BOLEH MOHON UNTUK KELUAR DARIPADA DAFTAR

Semua pengeluar boleh membuat permohonan untuk tidak lagi termasuk dalam daftar jika pengeluaran gas rumah hijau mereka turun ke bawah paras tertentu selama tiga tahun berturut-turut.

Namun, jika mereka boleh membuktikan bahawa mereka sudah membuat “perubahan besar dan ketara” dalam proses-proses yang akan mengurangkan “begitu banyak” pengeluaran gas rumah hijau ke bawah paras tertentu,, mereka boleh membuat permohonan untuk tidak termasuk dalam daftar pada tahun berikutnya.

NEA akan meluluskan permohonan sedemikian berdasarkan setiap kes.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan