Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 pengarah baru dilantik ke dalam Lembaga AMP; 2 daripadanya muka baru

AMP memilih lima anggota pengarah baru bagi Lembaga Pengarah (BOD) persatuan itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 hari ini (7 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
5 pengarah baru dilantik ke dalam Lembaga AMP; 2 daripadanya muka baru

5 pengarah baru dilantik ke dalam Lembaga AMP pada 7 Dis 2019. Ikut putaran jam dari kiri: Muhammed Faiz, Siti Mariam Mohamad Salim, Fathurrahman Hj M Dawoed, Muhammad Tarmizi Abdul Wahid dan Khairulnizam Massuan. (Gambar: AMP)

SINGAPURA: AMP memilih lima anggota pengarah baru bagi Lembaga Pengarah (BOD) persatuan itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 hari ini (7 Dis).

Mereka adalah:

  • Encik Edwin Ignatious @ Muhammed Faiz, Timbalan Pengarah, Jabatan Undang-Undang Korporat, Agensi Makanan Singapura (SFA)
  • Encik Fathurrahman Hj M Dawoed, Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation Pte Ltd
  • Encik Khairulnizam Massuan, Pengurus Kanan, Program Antarabangsa, Mercy Relief
  • Encik Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif, Safinah Holdings Pte Ltd
  • Cik Siti Mariam Mohamad Salim, Pekerja Sosial Perubatan Utama, Hospital Besar Sengkang

Mengulas tentang pemilihan lima anggota pengarah baru itu, Pengerusi Kumpulan AMP, Dr Md Badrun Nafis Saion, berkata mereka membawa pengetahuan dan pengalaman yang kaya daripada bidang karyawan masing-masing serta juga menerusi pelibatan bersama masyarakat.

"Ini tentunya akan menambah kekayaan dan perspektif rencam dalam perbincangan kami di peringkat lembaga. Saya tidak sabar menantikan bagaimana kami boleh memanfaatkan kepelbagaian ini dalam lembaga untuk lebih mempertingkatkan khidmat kepada masyarakat," ujar Dr Md Badrun.

Dalam kalangan lima anggota pengarah yang dipilih itu, Encik Muhammed Faiz dan Cik Siti Mariam adalah wajah-wajah baru dalam BOD AMP. Encik Fathurrahman, Encik Khairulnizam dan Encik Muhammad Tarmizi sebelum ini pernah berkhidmat dalam BOD AMP sejak Disember 2018 selaku Pengarah Tambahan.

"Misi dan visi AMP bergema kuat dengan diri saya. Ia juga sebuah persatuan yang mendakapi kepelbagaian jadi saya rasa amat dialu-alukan untuk berada di sini. Masih ada banyak lagi yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan masyarakat Islam. Saya tidak sabar untuk menyumbang kepada bukan sahaja masyarakat Islam tetapi juga masyarakat lebih besar," kongsi Encik Muhammed Faiz mengenai pemilihannya.

Encik Muhammed Faiz. (Gambar: AMP)

Encik Muhammed Faiz. (Gambar: AMP)

Berbekalkan pengalaman menerajui Darul Arqam Singapura sebagai Presiden, Encik Muhammed Faiz terdedah dan tidak lagi asing dengan isu-isu yang membelenggu masyarakat Islam. Tambah lagi dengan pendedahan beliau sebagai Anggota Majlis di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pelibatannya dalam beberapa jawatankuasa badan itu, Encik Muhammed Faiz sudah banyak menyumbang kepada kebaikan masyarakat Islam ke arah kecemerlangan.

Sementara itu, Cik Siti Mariam pula teruja untuk menerima peranan penting itu kerana ingin menjadi sebahagian daripada huraian dalam masyarakat Muslim.

Cik Siti Mariam Mohamad Salim. (Gambar: AMP)

Cik Siti Mariam Mohamad Salim. (Gambar: AMP)

"Sebagai seorang pekerja perubatan sosial, saya sedar banyak cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam. Saya ingin melakukan lebih banyak lagi untuk membantu masyarakat mengatasi cabaran-cabaran ini sehingga apabila peluang diberikan untuk saya melakukannya melalui AMP, saya bersungguh-sungguh menerimanya," ujar beliau.

Cik Siti Mariam adalah seorang lulusan Sarjana dalam Kauseling Hiba dan Penjagaan Paliatif dari Universiti Adelaide. Beliau juga memperolehi Sarjana Muda dengan pengkhususan dalam kerja kemasyarakatan dan psikologi dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau juga mempunyai lebih 20 tahun pengalaman berkhidmat dengan persatuan-persatuan, seperti Pertapis dan Darul Arqam Singapura, di mana sebahagian besar masa iaitu selama 17 tahun adalah bersama Hospital Besar Singapura dan Hospital Besar Sengkang.

Menyusuli keputusan pemilihan di AGM hari ini, kesemua lima daripada mereka akan kini berkhidmat dalam BOD AMP sebagai Pengarah lembaga tersebut.

Pengarah Tambahan dilantik oleh BOD AMP dan boleh berkhidmat untuk maksimum dua kali tempoh penggal setahun di bawah Perlembagaan AMP. Mereka kemudian perlu dipilih ke dalam BOD AMP sebagai Pengarah Dipilih oleh para anggota persatuan di AGM untuk terus berkhidmat dalam lembaga pengarah.

Pengarah Dipilih boleh berkhidmat dalam BOD AMP tidak melebihi enam tahun. Selaras dengan ini, dua pengarah paling lama berkhidmat iaitu Encik Abdul Hamid Abdullah dan Dr Bibi Jan Mohd Ayyub bersara daripada Lembaga AMP di AGM hari ini. Kedua-duanya sudahpun berkhidmat dalam Lembaga itu untuk tempoh maksimum enam tahun sejak 2013.

Lembaga Pengarah AMP kini mempunyai 10 anggota. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan