Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 pegawai polis cedera; kejar suspek remaja curi kereta

Lima pegawai polis cedera ketika mengejar beberapa suspek dalam sebuah kereta yang dicuri pada hujung minggu lalu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Isnin (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
5 pegawai polis cedera; kejar suspek remaja curi kereta

Dua kereta polis tidak bertanda mengalami kerosakan dalam operasi mencari beberapa suspek yang didakwa mencuri sebuah kereta pada 30 Okt 2021. (Ihsan: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 10:10PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 10:22PM

SINGAPURA: Lima pegawai polis cedera ketika mengejar beberapa suspek dalam sebuah kereta yang dicuri pada hujung minggu lalu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Isnin (1 Nov).

Suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 15 dengan 19 tahun ditangkap dalam operasi berasingan pada Ahad. Dua kereta polis tidak bertanda, kereta yang dicuri dan tiga kenderaan lain turut rosak dalam kejadian itu.

SPF menyatakan ia menerima laporan mengenai sebuah kereta yang dicuri pada sekitar 8.30 malam pada Sabtu.

"Si mangsa, seorang lelaki 22 tahun yang menyediakan khidmat kongsi kereta, mengambil dua lelaki di Pusat Beli Belah Compass One," menurut polis. Dua pelanggan itu ingin dibawa ke sebuah blok HDB di Jalan Kayu.

Mereka tiba di destinasi pada sekitar 7.30 malam. Setibanya di sana, penumpang itu meminta mangsa untuk membelikan rokok di kedai berdekatan dan dia bersetuju. Pemandu itu membiarkan enjin berjalan dan kemudian melihat dua penumpang itu memandu keretanya.

Pihak polis menggerakkan operasi untuk menjejaki kedua-dua lelaki itu serta kereta yang dicuri. Mereka kemudian mengenal pasti identiti salah seorang suspek iaitu lelaki 19 tahun yang merupakan "pemandu pertama".

Pada sekitar 2.15 pagi pada Ahad, pegawai berbaju preman menemui suspek di Yishun Street 21, ditemani seorang wanita dalam kereta yang dicuri itu.

"Apabila didekati pegawai di tempat meletak kereta terbuka itu, pemandu pertama tersebut didakwa melanggar kereta polis yang tidak bertanda sebelum memecut meninggalkan tempat itu," menurut polis, sambil menambah bahawa suspek juga dipercayai melanggar sebuah van.

Para pegawai kemudian tidak dapat mengesan kereta itu di Yishun Avenue 7.

Siasatan juga mendapati bahawa plat pendaftaran lesen kereta berkenaan ditukar kepada plat lain yang dicuri daripada kereta lain di Marine Parade.

Pemandu itu kemudian dikesan di Ang Mo Kio Avenue 5 dan diberkas bersama penumpangnya yang berusia 15 tahun pada sekitar 8.00 pagi. Sebuah peranti pegun (stun gun) turut dirampas.

Suspek dipercayai memberi kereta yang dicuri kepada seorang rakan subahatnya berusia 19 tahun, yang didakwa mencuri kereta itu dengannya, menurut polis.

Para pegawai berpakaian preman melihat lelaki kedua pada sekitar 9.00 pagi di sebuah tempat meletak kereta di Ang Mo Kio Avenue 6. Dia berada dalam kereta yang dicuri itu bersama seorang lelaki lain.

"Apabila para pegawai mengarahkan pemandu kedua itu supaya keluar dari kereta tersebut bersama penumpang lelakinya, pemandu itu tidak menghiraukan arahan pegawai dan dikatakan memecut meninggalkan tempat itu, menyebabkan tiga pegawai terjatuh dan mengalami cedera ringan," tambah polis.

Tiga pegawai mengejar kereta itu dalam sebuah kereta polis tidak bertanda. Kereta dicuri suspek akhirnya dipintas di Lentor Plains. Pemandu itu bagaimanapun didakwa melanggar bahagian tepi kereta polis yang mengejarnya, serta dua kereta privet lain yang terletak di sebelah jalan, dalam percubaan untuk melarikan diri.

Dua pegawai dalam kereta polis yang tidak bertanda mengalami cedera ringan, kata SPF.

"Pemandu kedua" bersama penumpangnya yang berusia 18 tahun akhirnya berjaya ditangkap. Sebilah pisau lipat ditemui dalam kereta, tambah pihak polis.

Siasatan susulan mendapati seorang remaja perempuan 16 tahun dipercayai membantu lelaki-lelaki tersebut dalam percubaan untuk meninggalkan kereta itu. Remaja itu diberkas di Ang Mo Kio Avenue 9 pada tengah hari Ahad.

Dua lelaki didakwa atas kesalahan mencuri pada Isnin. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda. Salah seorang daripada mereka juga akan dikenakan tuduhan tambahan mencuri plat lesen, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Di samping itu, mereka akan disiasat bagi pelbagai kesalahan. Ini termasuk menyebabkan kecederaan secara sengaja untuk menghalang seorang pegawai awam dari menjalankan tugasnya, tindakan melulu yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, memandu secara berbahaya, memandu tanpa lesen serta gagal berhenti selepas berlakunya kemalangan.

Suspek-suspek lain juga sedang disiasat atas peranan mereka dalam usaha meninggalkan kereta berkenaan. Jika didapati bersalah, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan didenda. Mereka juga boleh dilarang daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi satu tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah. 

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan