Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 negara anggota FDPA perlu kekal 'tangkas tapi teguh' pada prinsip asas, kata PM Lee

Bagi memastikan perjanjian pertahanan lima negara yang ditubuhkan 50 tahun lalu terus relevan, ia harus "tangkas namun berpegang teguh" pada prinsip asasnya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Oct 2021 07:17PM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 09:05PM

SINGAPURA: Bagi memastikan perjanjian pertahanan lima negara yang ditubuhkan 50 tahun lalu terus relevan, ia harus "tangkas namun berpegang teguh" pada prinsip asasnya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Berucap hari ini (21 Okt) dalam satu panggilan bersama antara para pemimpin pertahanan dari negara-negara yang membentuk Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA), PM Lee menggambarkan persekitaran geostrategik yang akan terus "berubah-ubah".

"Akan ada ancaman baru dan anjakan geopolitik yang mengubah andaian serta jangkaan operasi kita," ujar PM Lee.

"Saya menggalak FPDA untuk menjadi tangkas namun teguh pada prinsip asasnya dan menjadi penstabil keamanan serta perkembangan serantau.

Ini akan membolehkan perjanjian pertahanan tersebut untuk kekal "berjaya dan relevan secara strategik untuk tahun-tahun mendatang," tambah beliau.

FPDA melibatkan lima negara: Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan Britain. Di bawah perjanjian pertahanan itu, negara-negara anggota mesti berunding antara satu sama lain sekiranya tercetus atau berlaku ancaman serangan bersenjata terhadap Malaysia atau Singapura.

Dalam kenyataannya, PM Lee menarik perhatian bahawa tahun ini menandakan "peristiwa penting" bagi perjanjian pertahanan itu.

"50 tahun lalu, FPDA ditubuhkan di bawah keadaan khusus, sebagai satu rangka kerja perunding untuk mewujudkan sekitaran selamat yang penting bagi dua negara muda di Asia Tenggara menyusuli pengunduran pasukan Britain," kata PM Lee.

Meskipun konteks keselamatan di rantau itu sudah berubah, FPDA kekal berharga bagi semua yang terlibat, tambah perdana menteri.

Perjanjian itu mewujudkan "nilai operasi dan peluang latihan penting" bagi tentera-tentera para negara anggota, kata PM Lee.

Beliau menarik perhatian bahawa FPDA adalah satu-satunya perjanjian keselamatan berbilang hala di rantau ini dengan ciri operasi, iaitu Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu Ibu Pejabat (HQIADS), yang terus menjalankan latihan canggih konvensional sehingga kini.

Ini membolehkan tentera masing-masing membina kepercayaan serta meningkatkan penyelarasan di samping memperkukuhkan keupayaan HQIADS sebagai sebuah ibu pejabat latihan, tambah beliau.

PM Lee menyifatkan FPDA sebagai satu "contoh terbaik sebuah kumpulan keselamatan berbilang hala yang menyesuaikan diri dan menyumbang kepada keamanan serta kestabilan serantau dalam jangka panjang".

Ia berbuat demikian dengan menggalak kerjasama serantau dan hormat kepada undang-undang antarabangsa melalui latihan serta seminar dan forum profesional secara berkala, kata PM Lee lagi.

FPDA juga sudah diluaskan menjangkaui latihan tradisional tentera untuk membangunkan keupayaan dalam keselamatan maritim, bantuan kemanusian dan bantuan bencana serta menentang pengganasan.

PM Lee menambah perjanjian itu juga mengambil langkah-langkah untuk meyakinkan negara-negara lain di rantau tersebut bahawa ia adalah satu "perjanjian keselamatan yang inklusif dan damai" dengan mengundang mereka untuk menjadi pemerhati latihan-latihan yang dijalankan. Ini selain bertukar-tukar idea dan berkongsi maklumat tentang kegiatan FPDA dengan negara-negara tersebut.

FPDA sudah menjadi satu wadah berharga yang kerap menghimpunkan menteri-menteri pertahanan, ketua pasukan pertahanan serta pegawai kanan negara-negara anggotanya, kata PM Lee.

"Hakikat bahawa interaksi-interaksi ini diteruskan sekalipun di tengah-tengah pandemik adalah cerminan kuat keupayaan perjanjian itu untuk disesuaikan dan sejauh mana pentingnya FPDA bagi kami, negara-negara anggota," ujarnya lanjut.

Dalam kenyataannya, PM Lee mengesahkan lagi "komitmen padu" Singapura terhadap perjanjian itu.

PENDIRIAN YANG "TIDAK MENGANCAM"

PM Lee mengulangi komen-komen oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, yang memberitahu wartawan pada Isnin bahawa FPDA kekal "relevan" walaupun cabaran keselamatan berubah-ubah di rantau itu lima dekad selepas penubuhannya.

Dr Ng sebelum ini berkata FPDA mengamalkan pendirian "tidak mengancam" yang "bukan ditujukan kepada satu-satu negara tetapi sebagai sebuah kelompok serantau yang menggalak sikap inklusif serta kerjasama antara negara-negara."

Lima negara anggota FPDA itu memperingati ulang tahun ke-50 perjanjian pertahanan mereka dengan mengadakan pertunjukan udara dan laut di Marina South di Singapura pada Isnin (18 Okt).  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan