Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 kes COVID-19 berkait kelompok TTSH jenis varian koronovirus India

Lima kes COVID-19 berkait dengan kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH) didapati mempunyai varian virus dari India, kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Kenneth Mak pada Selasa (4 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
5 kes COVID-19 berkait kelompok TTSH jenis varian koronovirus India

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 04 May 2021 08:55PM Dikemas Kini : 04 May 2021 08:59PM

SINGAPURA: Lima kes COVID-19 berkait dengan kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH) didapati mempunyai varian virus dari India, kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Kenneth Mak pada Selasa (4 Mei).

Bercakap dalam sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19, Prof Madya Mak berkata tujuh kes dalam tiga kelompok tempatan mempunyai varian virus B16172 (India).

Selain lima kes di TTSH, satu kes dengan varian B16172 melibatkan pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang ditempatkan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi, dan satu lagi ialah pekerja pembersihan yang bertugas di sebuah kemudahan penjagaan masyarakat di Tuas South.

Virus dalam setiap kelompok "berbeza dari segi filogenetik", yang menunjukkan bahawa kelompok itu tidak saling berhubung kait antara satu sama lain, kata MOH.

"Berdasarkan maklumat awal yang kami ada, kelompok (TTSH) disebabkan oleh varian virus, yang mana vaksin sekarang amat berkesan dalam mengatasinya," kata Prof Madya Mak.

LAPORAN VARIAN VIRUS DI SINGAPURA

Setakat Isnin (3 Mei), 29 kes tempatan dikenal pasti dijangkiti "varian yang menjadi keprihatinan", kata Prof Madya Mak. Sebanyak 475 kes yang diimport dikesan dengan varian dari luar negara.

(Sumber: MOH)

(Sumber: MOH)

Prof Madya Mak berkata Singapura boleh menjangkakan "lebih banyak varian virus" dikenal pasti dari masa ke masa, dan semua tindakan kesihatan awam yang diperlukan telah diambil untuk mengasingkan dan membendung kes tersebut.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berkata: "Jenis varian baru mempunyai kadar serangan yang lebih tinggi, lebih mudah berjangkit, dan menyebabkan kelompok yang lebih besar daripada sebelumnya."

Prof Madya Mak menambah bahawa "kehadiran varian yang jadi keprihatinan dalam kes tempatan kita mengesahkan" keberkesanan strategi vaksinasi Singapura yang mengutamakan pekerja kesihatan dan warga Singapura yang lebih tua.

Sekiranya Singapura tidak melakukan demikian, kelompok TTSH akan "jauh lebih besar", kata Prof Madya Mak.

KEMASKINI KELOMPOK HOSPITAL TAN TOCK SENG

Kelompok yang dikaitkan dengan TTSH terus bertambah, dengan 40 kes kini berkait dengannya pada Selasa (4 Mei), menjadikan kelompok COVID-19 aktif itu yang terbesar pada masa ini.

Memberikan maklumat terkini mengenai kelompok hospital itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata bahawa langkah menjalankan ujian ke atas semua pesakit di hospital sudah selesai.

"Semuanya menunjukkan hasil negatif, selain mereka yang telah kami umumkan. Semalam, kami selesai menjalankan pusingan kedua ujian ke atas pesakit ini, dan hasilnya masih dinantikan," tambah Encik Gan.

Ujian ke atas semua 12,000 kakitangan di kampus juga sedang dijalankan. Setakat ini, kira-kira 10,000 pekerja telah selesai menjalani ujian.

"Kami akan memberikan maklumatnya sebaik sahaja keputusan diketahui," kata Encik Gan.

"Tujuan kami adalah untuk memastikan kita melakukan semua yang perlu dan berusaha sebaik mungkin untuk mencari kes yang dijangkiti seawal mungkin.

Ujian pengawasan juga dilakukan bagi pengunjung di hospital, atau mereka yang pernah mengunjungi tempat-tempat yang dikunjungi kes COVID-19 ketika mereka dalam tempoh berjangkit.

Encik Gan berkata institusi lain dalam sistem penjagaan kesihatan tampil untuk memastikan penjagaan pesakit TTSH dapat diteruskan.

"Kami juga mempersiapkan sistem penjagaan kesihatan untukbagi sebarang kemungkinan berlakunya peningkatan kes dalam masyarakat, munculnya kelompok baru. Kami harap keadaan itu tidak akan berlaku, tetapi kita masih harus bersiap sedia," tambahnya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan