Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5% kakitangan SPH diberhentikan

Syarikat media Singapore Press Holdings (SPH) akan memberhentikan lima peratus kakitangannya dalam kumpulan media menjelang akhir November. Ia sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
5% kakitangan SPH diberhentikan

Bangunan Singapore Press Holdings yang terletak di 1000 Toa Payoh North. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 17 Oct 2019 09:51PM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 09:52PM

SINGAPURA: Syarikat media Singapore Press Holdings (SPH) akan memberhentikan lima peratus kakitangannya dalam kumpulan media menjelang akhir November. Ia sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat tersebut.

Kumpulan media SPH merupakan cabang terbesar syarikat itu, termasuk penerbitan akhbar, majalah, radio dan percetakan buku.

Mengumumkan pemberhentian pekerja itu dalam satu kenyataan hari ini (17 Okt), SPH menyatakan meskipun secara keseluruhannya jumlah pelanggan bagi setiap wadah syarikat itu meningkat, pendapatan daripada cabang percetakan terus merosot.

"Selain itu, prospek makroekonomi tahun ini yang tidak menentu menyebabkan permintaan pelanggan merosot dan para pengiklan mengurangkan perbelanjaan mereka. Ini adalah masa yang baik bagi SPH menggabungkan kekuatannya sebagai pemilik media dan menyelaraskan operasi media dan majalah," kata syarikat itu yang tidak mendedahkan jumlah kakitangan yang terjejas.

SPH menyatakan ia akan menyusun semula perniagaan majalah dan huraian medianya untuk membolehkan penjualan secara bersepadu di semua wadah. Kos pemberhentian itu dijangka menelan belanja sekitar S$8 juta.

SPH melaporkan hari ini keuntungan bersih syarikat itu merosot 23.4 peratus kepada S$213.2 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos.

Hasil pendapatan daripada segmen media jatuh sebanyak S$78.9 juta atau 12 peratus kepada S$576.9 juta disebabkan hasil pengiklanan cetak merosot 14.9 peratus atau S$57 juta dan hasil pendapatan daripada edaran turun S$11 juta atau 7.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif SPH Ng Yat Chung berkata penyusunan semula yang akan dilakukan "perlu" untuk mempertingkatkan kecekapan operasi syarikat itu dan memperkukuhkan kedudukannya dalam persekitaran media dan ekonomi yang mencabar.

SPH menyatakan ia sudah memaklumkan langkah pemberhentian pekerja itu kepada Kementerian Tenaga Manusa (MOM) dan NTUC. Kakitangan yang terjejas akan menerima pampasan berdasarkan terma yang dirundingkan dan dipersetujui bersama kesatuan pekerja. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan