Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5% jemaah umrah S'pura lakukan umrah 2 kali setahun

Para jemaah Singapura lega peraturan baru itu dikenakan ke atas mereka yang menunaikan umrah kali kedua dan seterusnya dalam masa tahun Hijrah yang sama bukan tempoh lima atau 10 tahun seperti yang dikhuatiri sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para jemaah Singapura lega peraturan baru itu dikenakan ke atas mereka yang menunaikan umrah kali kedua dan seterusnya dalam masa tahun Hijrah yang sama bukan tempoh lima atau 10 tahun seperti yang dikhuatiri sebelum ini.

Namun terdapat hanya 5 peratus jemaah umrah Singapura yang sering melakukan umrah lebih daripada sekali dalam masa setahun.

Semalam (21 September), Kedutaan Arab Saudi di Singapura memaklumkan GSA-GSA tempatan, visa umrah dan haji akan dinaikkan kepada 2,000 Riyal Saudi (S$700) bagi mereka yang melakukannya buat kali kedua atau lebih.

Encik Mahfudz suami isteri merancang untuk menunaikan ibadah umrah beberapa bulan lalu tanpa menduga akan peraturan baru yang bakal diperkenalkan pihak berkuasa Saudi mulai 2 Oktober depan.

Tetapi kini, lebih kurang sebulan sebelum berangkat ke tanah suci, mereka redha akan peraturan visa itu.

"Saya tak terperanjat kerana ini secara kebetulan saja sebab apa di mana-mana di dunia ini keadaan naik tiada yang turun lagi jadi kita kena terima hakikatnya. Niat kita nak belanja jadi kita pergi saja. Kalau kita fikir nak itu nak ini, jangan bergeraklah jawapannya.

"Tiada siapa yang paksa kerana itu kehendak anda. Kalau rasa tak boleh, berhenti. Kalau rasa boleh teruskan saja jadi perjuangan, itu saja," kata beliau, seorang bakal jemaah umrah pada November nanti.

Ramai melihatnya sebagai satu dugaan yang perlu diatasi jika benar-benar ikhlas.

"Bagi saya tak ada masalah, kalau ada rezeki pergi sajalah, bayar sajalah, sebab kalau tawar menawar seperti tawar menawar dengan Allah. Kalau kita benar-benar nak pergi bayar saja. Kalau kita banyak soal dengan sendiri ibadah kita pun terjejas. Yang penting ikhlas, bayar, jalan," ujar seorang jemaah haji tahun ii Abdul Hashim Minhan.

Namun majoriti yang ditinjau akur akan perlunya pihak berkuasa Saudi melakukan sesuatu untuk memastikan jumlah jemaah yang menuju ke tanah suci masih boleh dikawal.

Pengarah Urusan Jalaluddin Travel Ustaz Jalaluddin Hasan berkata: "Saya melihat peraturan-peraturan yang baru yang dikeluarkan Arab Saudi ini pasti mempunyai kepentingan-kepentingan mereka yang khusus, sebab-sebab peribadi mereka.

"Saya melihat mungkin atas dasar keselamatan. Dan kami berharap jemaah Singapura dapatlah juga memahami dan mematuhi kerana untuk keselamatan peribadi dengan jumlah jemaah yang ramai sekarang di tanah suci."

Dengan hampir siapnya kerja-kerja peningkatan Masjidil Haram, apa yang pasti lebih ramai jemaah boleh ditampung dan kemudahan yang lebih luas dan baru terus menjadi tarikan para jemaah merata dunia.

"Ada tambahan penerbangan baru Scoot, misalnya, tiga kali seminggu, Saudia Airlines tambahan penerbangan lima kali seminggu dan banyak lagi penerbangan yang berikan pilihan kepada para jemaah dan berbagai lagi perkhidmatan. Sambutan kali ini amat baik sejauh ini kita ada 800 jemaah umrah," kata Pengarah Urusan Shahidah Travel Ayob Angullia.

Walaupun musim umrah kali ini dijangka bermula bulan depan, majoriti jemaah Singapura akan berangkat umrah mulai bulan November apabila musim cuti sekolah bermula. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan