Images

5 didakwa kerana tuntutan palsu SkillsFuture berjumlah S$40 juta

SINGAPURA: Lima anggota sindiket jenayah didakwa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berhubung tuntutan palsu kredit SkillsFuture. SkillsFuture Singapura (SSG) membayar hampir S$40 juta bagi tuntutan palsu itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini (19 Dis), SSG menyatakan kesalahan yang dilakukan termasuk "terlibat dalam konspirasi untuk menyerahkan dokumen-dokumen palsu bagi mendapatkan subsidi latihan dari SSG, dan menyembunyikan keuntungan yang diraih dalam jenayah tersebut.

Polis merampas sejumlah besar wang tunai dan membekukan beberapa akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut.

"Siasatan awal polis menunjukkan bahawa sindiket di sebalik tuntutan itu beroperasi dalam satu rangkaian tersusun yang menggunakan sembilan entiti perniagaan, terdiri daripada syarikat-syarikat majikan dan penyedia-penyedia latihan, untuk menyerahkan tuntutan palsu."

SSG menyatakan bahawa mereka mengesan kelainan pada tuntutan bagi geran latihan pada akhir Oktober 2017 dan segera menggantung semua pembayaran geran kepada sembilan entiti perniagaan berkenaan serta membuat aduan polis.

SSG menambah bahawa ia sudah segera mengambil tindakan untuk mengetatkan lagi proses-proses, termasuk melaksanakan analisis penipuan, selain menyemak semula sistem berkenaan secara komprehensif.

"SSG mengambil pandangan yang serius terhadap sebarang individu, penyedia latihan atau syarikat yang menyalahgunakan skim-skim pendanaan, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan garis panduan pendanaan," demikian seperti yang dipetik dari kenyataan media.

Pihak polis masih menjalankan siasatan.  

- CNA/AQ/aq

Top