Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 diberkas di M'sia, sindiket disyaki seludup dadah guna syarikat penghantaran di S'pura

Lima orang ditangkap di Malaysia kerana disyaki melakukan kegiatan penyeludupan dadah, dengan hampir 55 kilogram dadah terkawal bernilai RM4.9 juta (S$1.6 juta) disita dalam operasi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
5 diberkas di M'sia, sindiket disyaki seludup dadah guna syarikat penghantaran di S'pura

(Gambar: NCID Malaysia)

Diterbitkan : 06 Oct 2021 05:15PM Dikemas Kini : 06 Oct 2021 05:19PM

SINGAPURA: Lima orang ditangkap di Malaysia kerana disyaki melakukan kegiatan penyeludupan dadah, dengan hampir 55 kilogram dadah terkawal bernilai RM4.9 juta (S$1.6 juta) disita dalam operasi tersebut.

Bertindak berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang lelaki dan empat wanita, berusia antara 21 dengan 71 tahun, di dalam dan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Semua lima individu itu adalah warga Malaysia.

CNB menyatakan pihaknya sudah mula memantau sindiket yang berpusat di Malaysia itu sejak Julai. Sindiket itu dipercayai menyeludup dadah, menggunakan syarikat penghantaran barang yang berpangkalan di Singapura sebagai ejen penghantaran yang sah untuk menghantar bungkusan yang mengandungi dadah tersembunyi ke negara lain menerusi Singapura.

CNB secara aktif memantau aktiviti sindiket tersebut dan menyampaikan maklumat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM. Berdasarkan maklumat CNB, pihak berkuasa Malaysia memulakan siasatan mereka.

Antara 24 September dengan 28 September, pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melakukan beberapa operasi di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Dalam salah satu operasi tersebut, mainan dan anak patung kanak-kanak dirampas daripada bungkusan yang disyaki mengandungi dadah terkawal.

Dadah terkawal, yang disyaki methamphetamine, juga ditemui pada kadbod dengan permukaan beralun-alun dalam bungkusan yang berisi mainan dan boneka itu.

Sebanyak 5.8 kilogram methamphetamine, juga dikenali sebagai Ice, 14.8 kilogram ketamin, 34.3 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan 30.1 liter MDMA disita, bersama dengan pelbagai peralatan pemprosesan dadah dan 2.2 kilogram kafein yang dipercayai digunakan dalam pengeluaran dadah terlarang.

Siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ke atas kegiatan dadah suspek sedang dijalankan.

Penolong Pesuruhjaya Polis merangkap timbalan pengarah (operasi) CNB, Leon Chan, berkata bahawa penangkapan tersebut adalah "bukti kerjasama erat" antara CNB dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan menzahirkan penghargaan beliau kepada pihak berkuasa Malaysia atas "sokongan berterusan" mereka.

"Kedua-dua agensi akan terus berkongsi maklumat risikan dengan pantas dan bekerjasama dalam membasmi kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan," tambah AC Chan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan