Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

400 sukarelawan M³ himpun buat pertama kali kongsi pengalaman

Buat pertama kalinya, 400 sukarelawan, pemimpin akar umbi dan karyawan M³ disatukan di bawah satu bumbung hari ini (8 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
400 sukarelawan M³ himpun buat pertama kali kongsi pengalaman

(Gambar hiasan: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, 400 sukarelawan, pemimpin akar umbi dan karyawan M³ disatukan di bawah satu bumbung hari ini (8 Feb).

Mereka menghadiri Forum M³ yang dianjurkan buat julung-julung kalinya sejak gerakan itu diperkenalkan pada 2018.

Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City itu membuka ruang untuk saling berkongsi pengalaman dan amalan-amalan terbaik.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Sebelum ini, di tahap awal M³, para sukarelawan gerakan itu merintis inisiatif-inisiatif pemerkasaan untuk dimanfaatkan penduduk-penduduk Melayu di kejiranan masing-masing.

Lebih 1,400 sukarelawan dari pelbagai latar belakang bergabung tenaga dengan MUIS, MENDAKI dan MESRA atau M³ di lapan kawasan kejiranan. Kepakaran mereka dalam bidang yang berbeza-beza membentuk sinergi yang terbaik untuk mewujudkan program-program yang bermanfaat.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Hari ini, 400 daripada mereka berhimpun di Pusat Konvensyen Suntec City untuk menyingkap inisiatif-inisiatif yang sudah dijalankan dan belajar daripada satu sama lain.

Tujuannya, agar setiap M³@Bandar dapat saling memanfaatkan pengalaman dari kawasan kejiranan yang lain dan mempertingkat penyampaian khidmat tahap akhir.

"Forum M³ hari ini mereka berkongsi pendapat dan juga pengalaman dalam menjalankan program-program masing-masing. Sangat kaya, sangat menunjukkan kesungguhan para sukarelawan dalam memberi bantuan," kata Encik Masagos.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

IKUTI PERKEMBANGAN M³ MENERUSI WHATSAPP BICARA M³

Di acara ini Encik Masagos turut melancarkan wadah baru untuk masyarakat mengikuti perkembangan program-program terkini M³ menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada setiap Isnin dan Jumaat, sesiapa yang melanggani Bicara M³ akan menerima maklumat tentang acara, kegiatan, bengkel yang bakal dijalankan. Ini termasuk juga agensi-agensi seperti masjid-masjid dan pusat-pusat masyarakat.

"Itu membolehkan kami menyampaikan maklumat yang terkini kepada masyarakat. Saya harap masyarakat semua langgani saluran itu (Bicara M³) di WhatsApp. Dengan itu dapat kita akan lebih mudah menyebarkan maklumat secara lebih menyeluruh," ujar beliau.

Maklumat yang diterima lebih awal oleh mereka yang melanggani Bicara M³ itu dapat memastikan mereka tidak terlepas mendaftar diri atau menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Setiap Khamis pula, pelanggan akan menerima ringkasan berita, di mana mereka boleh membaca rencana-rencana berita mengenai pengumuman-pengumuman dan perkembangan penting.

Sejauh ini saluran Bicara M³ itu sudahpun menerima hampir 300 pelanggan sejak ia dimulakan pada hujung 2019.

Orang ramai boleh melanggani WhatsApp Bicara M³ dengan mengimbas kod QR yang boleh diperolehi menerusi laman Facebook M³ atau klik di sini. <<http://tinyurl.BicaraM3>>

3 TUMPUAN INI AKAN TERUS DIKEMBANGKAN

Memandang ke depan, kata Encik Masagos, M³ akan terus melaksanakan tiga program induk yang sudahpun diumumkan sebelum ini.

Pertama bagaimana memastikan keluarga menjadi erat, kuat dan dapat terus menjalankan kehidupan mereka sebagai keluarga yang mapan di bawah program BersamaMu.

Ia sekarang bertempat di Yishun tapi akan dikembangkan di tempat-tempat yang lain.

Kemudian program Fitrah yang membantu banduan dan juga keluarga mereka untuk kembali kepada masyarakat. Program ini dipimpin oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

Akhir sekali program mentoring atau bimbingan untuk para belia. Ia diterajui oleh Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu.

"Ketiga-tiga program induk ini bakal diterapkan M³@Bandar, dan setelah mereka sekarang tahu bagaimana mereka bekerjasama sebagai sukarelawan dan juga dibantu disokong oleh badan-badan M³, iaitu MENDAKI, MUIS dan MESRA. Sekarang ini adalah bagaimana menerapkan program-program induk tersebut di seluruh bandar pada tahun-tahun yang akan datang," Ujar Encik Masagos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan