Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

400,000 keluarga berpendapatan rendah akan terima baucar bernilai S$20 juta keseluruhan

Sehingga 400,000 keluarga di Singapura - atau sekitar 30 peratus keluarga di Singapura - tidak lama lagi akan menerima satu set baucar yang boleh digunakan di lebih daripada 2,000 kedai-kedai kejiranan dan gerai penjaja.

Anggaran Waktu Membaca:
400,000 keluarga berpendapatan rendah akan terima baucar bernilai S$20 juta keseluruhan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Jun 2020 06:10PM Dikemas Kini : 12 Jun 2020 10:38PM

SINGAPURA: Sehingga 400,000 keluarga di Singapura - atau sekitar 30 peratus keluarga di Singapura - tidak lama lagi akan menerima satu set baucar yang boleh digunakan di lebih daripada 2,000 kedai-kedai kejiranan dan gerai penjaja.

Di bawah Skim Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang berjumlah S$20 juta, setiap keluarga yang dikenal pasti akan menerima baucar bernilai S$50, setiap keping bernilai S$2, menurut Persatuan Rakyat dalam satu kenyataan media pada Jumaat (12 Jun).

Baucar-baucar itu boleh digunakan untuk membeli makanan dan khidmat serta barangan penting di pusat penjaja dan kedai yang mengambil bahagian antara 25 Jun hingga 31 Dis.

Skim Baucar CDC dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan datuk bandar lima daerah di Singapura pada Jumaat (12 Jun).

Skim itu diperkenalkan menyusuli ucapan Belanjawan Encik Heng pada Februari lalu yang mana beliau mengumumkan bahawa CDC akan mendapat bantuan S$20 juta bagi meningkatkan bantuan kepada masyarakat.

"Kami tahu COVID-19 telah menjejas mata pencarian, dan kami mahu bertindak lebih responsif dan membangunkan program yang dapat membantu para penduduk daripada keluarga berpendapatan rendah menangani cabaran itu," kata Datuk Bandar CDC Barat Daya Cik Low Yen Ling kepada Mediacorp.

"Selain membantu keluarga berpendapatan rendah memenuhi keperluan harian mereka, inisiatif baucar CDC sebanyak $20 juta ini dapat menyatukan masyarakat am memandangkan baucar ini menggalak rakyat Singapura untuk membeli daripada perniagaan tempatan, gerai penjaja dan kedai runcit di kawasan kejiranan dan estet HDB," katanya lagi.

Setakat ini, 2,500 peniaga dan penjaja dari seluruh Singapura sudah mendaftar untuk menyertai inisiatif itu.

Ini termasuk gerai makanan di kedai kopi dan pusat penjaja, kedai perubatan tradisional Cina, kedai runcit, pasar raya kecil, kedai gunting rambut dan mendandan rambut, klinik keluarga dan kedai cermin mata.

Ini merupakan kali pertama baucar-baucar CDC boleh digunakan di seluruh Singapura, berbanding hanya di daerah tertentu, kata Cik Low yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Datuk Bandar.

"Kami amat inklusif kerana pusat beli-belah kejiranan benar-benar menambah pada sekitaran bertenaga di pusat kejiranan secara keseluruhan," kata Cik Low.

Beliau menambah, para peniaga yang berniat menyertai skim itu boleh menghubungi pejabat kawasan pilihan raya mereka.

Keluarga yang layak bagi skim itu akan dimaklumkan menerusi kiriman surat menjelang hujung bulan ini, dengan pengambilan baucar dilakukan secara berkumpulan bagi "memastikan jarak selamat" dan "mengurangkan berlaku kesesakan", kata PA.

Setiap keluarga boleh mengambil baucar masing-masing dari tarikh yang tertera dalam surat masing-masing hingga 1 Dis.

Untuk mengambil baucar tersebut, mereka yang layak mesti membawa surat dan kad pengenalan milik salah seorang anggota keluarga ke Kelab Masyarakat yang tertera dalam surat berkenaan.

Sementara setiap keluarga akan diberikan baucar bernilai S$50, keluarga yang memerlukan lebih banyak bantuan boleh memaklumkan kepada pegawai Kelab Masyarakat yang akan menghubungi agensi pemerintah yang berkaitan, kata Cik Low.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan